Ramai ke pajak gadai selesai urusan tertangguh, kata persatuan

Tiada yang luar biasa tentang kunjungan ramai pelanggan ke beberapa premis pajak gadai semalam dan hari ini, dengan Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai Malaysia (MPBA) menganggapnya sebagai rutin biasa.

Presiden persatuan Tan Ho Keng berkata, pelanggan mahu menyelesaikan urusan yang tertangguh setelah pajak gadai ditutup sejak 18 Mac lalu berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata, pelanggan mengunjungi kedai pajak gadai untuk menebus barang kemas yang digadai, membuat pembayaran faedah, melanjutkan tempoh gadaian, selain segelintir yang membuat pajakan.

Tan berkata, selepas 47 hari tidak beroperasi pajak gadai kembali dibuka semalam susulan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

“Jumlah pelanggan nampak ramai semalam kerana mereka ikut peraturan dengan beratur mematuhi jarak sosial satu meter. Hanya 2 pelanggan sahaja dibenarkan memasuki premis pada satu-satu masa berbanding sebelum ini kami benarkan 10 pelanggan masuk ke dalam premis,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Beliau berkata, sepanjang PKPB, operasi premis pajak gadai dihadkan kepada 5 jam sahaja iaitu dari 9 pagi hingga 2 petang.

Beliau menjelaskan kebanyakan pelanggan yang mengunjungi kedai pajak gadai kerana mahu menebus barang kemas mereka.

“…Aidilfitri tidak lama lagi, jadi ramai pelanggan datang untuk tebus kerana ingin memakai barang kemas kepunyaan mereka nanti,” katanya.

Mengenai lanjutan tempoh pembayaran, beliau berkata, pelanggan yang sudah mencapai tempoh matang untuk membuat pembayaran pajakan bagi tempoh 18 Mac hingga 12 Mei tidak perlu bimbang kerana lanjutan pembayaran adalah secara automatik.

Tinjauan Bernama di sebuah premis pajak gadai Islam Ar-Rahnu di Gombak mendapati ramai pelanggan datang untuk melanjutkan tempoh gadaian barang kemas mereka.

Pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Sharifah, 35, berkata, beliau tidak dapat menyelesaikan urusannya kerana waktu operasi di premis itu dipendekkan sehingga 2 petang.

“Saya ke sini untuk bayar upah simpan gelang emas yang sudah tertangguh 3 bulan. Saya ingatkan (premis) buka seperti biasa tetapi sampai 2 petang sahaja,” katanya.

Di Kuala Terengganu, tinjauan mendapati ramai pelanggan dapat menebus barang kemas dan melanjutkan tempoh gadaian selepas membuat pengeluaran i-Lestari daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan kerajaan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul, 32, berkata pengeluaran i-Lestari memberinya sumber kewangan yang lebih untuk membayar ansuran gadaian gelang emas yang dipajaknya beberapa bulan lepas.

“Saya membayar secara ansuran pajakan gelang itu sehingga Julai ini dan akan dapat menebusnya sebelum tamat tempoh pajakan. Jadi, pengeluaran duit KWSP (i-Lestari) itu memberi sumber yang lebih untuk membayar pajakan emas,” katanya.

Sementara itu seorang tukang paip yang hanya ingin kenali sebagai Mahmud, 44, bersyukur dengan pelaksanaan PKPB yang membolehkan beliau membuat urusan di kedai pajak gadai.

Bapa kepada 4 anak itu berkata, beliau terpaksa menggadai barang kemas milik isterinya bagi kegunaan Aidilfitri nanti.

“Sekiranya PKPB tidak dilaksanakan dan kedai pajak gadai masih ditutup, mungkin saya terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara. Walaupun mungkin tidak dapat pulang ke kampung beraya, tetapi saya dan isteri mahu membuat persiapan untuk anak-anak seperti membeli baju baharu untuk menggembirakan mereka,” katanya.

Di Ipoh, hari kedua pelaksanaan PKPB menyaksikan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan seperti memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan jarak sosial semasa berurusan di premis pajak gadai termasuk di Jalan C M Yusuff.

Pesara swasta yang mahu dikenali sebagai Aziman, 65, berkata beliau beratur lebih sejam demi menebus rantai emas isterinya yang digadai sebelum pelaksanaan PKP.

Bekas pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Nurul Aini, 34, pula menggunakan wang simpanannya untuk menebus gelang emasnya untuk dipakai semasa Aidilfitri kelak.

Pemilik Kedai Emas Safura, Bibi Safura Ghulam Hydar, 56, memberitahu pihaknya menerima banyak permintaan untuk menggadai barang kemas semasa PKP, namun memilih tidak menerimanya atas pelbagai faktor termasuk riba.

Sebaliknya, beliau mengambil pendekatan membeli barangan yang dijual mengikut harga pasaran kerana mahu memudahkan urusan mereka yang kesusahan.

DI Johor Bahru, tinjauan di beberapa kedai pajak gadai mendapati ramai yang mengunjunginya untuk melanjutkan tempoh gadaian.

Muhammad, 30, berkata beliau mahu memperbaharui tempoh gadaian yang sudah tamat bagi mengelak barang kemas miliknya dilelong.

Pekerja kedai aksesori wanita yang mahu dikenali sebagai Shafinaz, 39, pula memilih memajak barang kemasnya berikutan harga emas yang tinggi ketika ini, sebagai persediaan untuk perbelanjaan kelak.

Di Sungai Petani, hanya 2 premis pajak gadai yang menjadi tumpuan pelanggan yang kebanyakannya mahu menebus barang gadaian.

Pemilik kedai pajak gadai yang hanya ingin dikenali sebagai Lee, 50, berkata, hari ini ramai pelanggan datang kerana mahu menebus barangan kemas serta melanjutkan tempoh pajakan.

“Sekarang harga emas naik, mungkin mereka tebus barang kemas untuk menjualnya pula,” katanya sambil mememberitahu premisnya turut mematuhi moratorium selama 3 bulan seperti diarah kerajaan.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker