Hari pertama PKPB terkawal, kerajaan berterima kasih pada rakyat

Keadaan pada hari pertama perintah kawalan pergerakan bersyarat semalam terkawal dan orang ramai menunjukkan kawalan kendiri yang tinggi, walaupun terdapat peningkatan pergerakan serta jumlah kenderaan dan orang yang keluar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob melaporkan perkara itu pada sidang media hari ini, dan menyampaikan terima kasih kerajaan kepada orang ramai atas kawalan kendiri dalam mematuhi tatacara operasi standard bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Jangkaan premis-premis perniagaan akan sesak dan tiada pematuhan SOP seperti penjarakan sosial jelas meleset,” katanya.

Ismail berkata pemantauan mendapati premis perniagaan mengambil suhu badan pelanggan, menyediakan pensanitasi tangan, menghadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa, dan memastikan pelanggan beratur di luar premis dalam jarak sosial 1m.



“Kita juga menerima laporan ada pengusaha restoran yang mengambil nama pelanggan untuk tujuan pengesanan kontak jika terdapat kes positif Covid-19,” katanya.

Ismail juga melaporkan tinjauan pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa dan Transit Aliran Ringan mendapati pengguna mengamalkan penjarakkan sosial dan memakai topeng.

“Ramai yang beranggapan pada hari pertama PKPB ini akan menjadi kelam-kabut,” katanya.

Sementara itu, kerajaan juga memuji orang ramai kerana berkongsi gambar di media sosial tentang ketidakpatuhan SOP melawan Covid-19 di tempat awam.



Ismail berkata perkembangan itu menunjukkan sikap mereka yang bertanggungjawab.

“Bagaimanapun orang ramai diingatkan supaya menyemak sesuatu berita atau gambar sebelum diviralkan. Tidak pasti jangan kongsi,” katanya.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker