Fitnah pegawai menteri, kementerian ditahan SPRM, KKM buat laporan polis

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa pengguna media sosial berhubung fitnah mendakwa 5 orang pegawai menteri dan kementerian itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan KKM berkata, fitnah itu dibuat dalam tulisan di beberapa akaun Facebook, termasuk akaun “Teuku Shafiz Rullah”, “STEADYAKU47” dan akaun Twitter “Fadzilah Mamat@fadzilahmamat”.

“Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Putrajaya. Hantaran di Facebook dan mesej Twitter berkenaan mendakwa SPRM menahan 2 pegawai kanan menteri kesihatan dan 3 pegawai kementerian.

“Posting itu antara lain mendakwa ‘menteri kesihatan juga terlibat’ dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperolehi kontrak RM30 juta,” katanya hari ini.



Terdahulu, KKM memaklumkan pihaknya akan memberi kerjasama kepada SPRM berhubung siasatan terbaru dijalankan oleh pihak berkuasa itu.

Sebelum ini dilaporkan SPRM sedang menyiasat sebuah syarikat yang didakwa secara tidak layak mendapat kontrak membekalkan kelengkapan makmal dianggarkan bernilai RM30 juta.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba sebelum ini mengumumkan kesediaan pihaknya bekerjasama dengan agensi anti-rasuah itu bagi memastikan kementerian berkenaan bersih dan berintegriti, berikutan desas-desus pegawai di KKM disiasat oleh SPRM.

KKM berkata, ia berasa kesal terhadap fitnah tersebut dan berharap polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat melakukan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dan Twitter berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya.



“KKM juga memohon kepada netizen supaya menghentikan perkongsian fitnah itu,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker