Penjawat awam boleh kerja dari rumah, waktu fleksi ketika PKPB

Terkini di My KMU !!!!---->

Ketua jabatan boleh mempertimbang dan memberi kelonggaran kepada sebahagian pegawai awam untuk menggunakan waktu kerja fleksi manakala sebahagian lagi bekerja di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman menerusi surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 2 Mei mengenai operasi pejabat semasa PKPB berkata, kelonggaran itu boleh dibuat sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa agar penggunaan sumber manusia dapat dioptimumkan.

Ini, katanya bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam sentiasa berada di tahap yang baik dan efektif serta mengambil berat tentang keselamatan dan kebajikan penjawat awam.

“Pertimbangan dan kelonggaran kepada mana-mana pegawai untuk bekerja dari rumah sama ada secara penggiliran atau sepanjang tempoh yang ditetapkan hendaklah berasaskan bahawa urusan atau tugasan pegawai berkenaan tidak memerlukan keberadaan pegawai di pejabat pada setiap masa atau sepanjang tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan pihak berkuasa bermula 4 Mei di bawah PKPB, dan semua pejabat kerajaan juga akan beroperasi sepenuhnya mulai tarikh berkenaan.

Khairul Adib berkata bagi pegawai awam yang mempunyai anak berusia 12 tahun ke bawah atau anak-anak berstatus orang kurang upaya (OKU) yang bersekolah dan memerlukan penjagaan berterusan, ketua jabatan juga boleh mempertimbangkan pegawai berkenaan untuk bekerja dari rumah.

“Bagi pasangan suami isteri yang merupakan penjawat awam, hanya seorang sahaja yang boleh menggunakan kemudahan bekerja dari rumah pada satu-satu masa sehingga sekolah atau pusat jagaan dibuka semula,” katanya.

Sehubungan itu, Khairul Adib berkata ketua jabatan juga hendaklah memastikan pematuhan kepada semua peraturan, garis panduan dan surat edaran yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan JPA sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

Arahan itu pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, katanya.

FMT

Leave a Reply