Negeri boleh ambil langkah ketat cegah Covid-19, kata Putrajaya

covic-19

Kerajaan negeri dan sektor swasta, termasuk perniagaan, boleh mengambil langkah ketat bagi mencegah penularan wabak Covid-19 walaupun kerajaan pusat melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula esok yang memberikan beberapa kelonggaran.

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan negeri boleh memilih untuk mengambil pendekatan sendiri selagi ia tidak melangkaui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Putrajaya.

Ini termasuklah membolehkan pemilik premis memilih mengekalkan langkah pencegahan sedia ada sekiranya mereka berasa ia lebih selamat.

“Bagi negeri, kita keluarkan panduan am untuk seluruh negara sewaktu perjumpaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu lepas yang dipengerusikan oleh perdana menteri dan dihadiri menteri besar dan ketua menteri.

“Kita telah nyatakan perkara itu. Negeri boleh menyesuaikan SOP masing-masing, tapi mesti berdasarkan SOP kerajaan persekutuan.

“Banyak sektor yang dibenarkan beroperasi. Walau bagaimanapun itu tidak bermakna semua operator perlu buka. Walaupun kebenaran diberi tapi mereka masih boleh memilih. Contohnya restoran.

“Jika pemilik restoran masih ragu dari segi keselamatan, mereka boleh teruskan (kaedah) beli dan bawa balik. Begitu juga bagi sesetengah kawasan, kalau ia nak buka operasi kedai sehingga 8 malam tidak mengapa, sebab SOP kita sampai 10 malam, tapi kalau nak buka sampai 12 malam, itu tidak boleh,” katanya mengulas keputusan beberapa negeri menangguhkan pelaksanaan PKPB yang bermula esok.

Dalam perkembangan lain Ismail berkata, perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak mungkin dilaksanakan untuk tempoh yang terlalu lama.

“Pakar perubatan menjangkakan vaksin Covid-19 tidak akan diperolehi (dalam masa terdekat). Mereka meramalkan wabak Covid-19 akan berada bersama kita sekurang-kurangnya untuk tempoh 2 tahun lagi. (Ini) bermakna bahayanya sentiasa ada di sekeliling kita.

“Oleh kerana wabak Covid-19 dijangka berada bersama kita 2 tahun lagi, maka tak mungkin PKP akan diteruskan selama 2 tahun,” katanya.

Dengan memberi contoh Taiwan, Ismail berkata, kadar jangkitan dan kematian yang rendah direkodkan di negara itu walaupun ia tidak melaksanakan perintah berkurung.

“Taiwan tidak pernah membuat PKP, tapi ia negara paling rendah dari segi angka kematian, hanya 6 kes. Jumlah kes juga antara paling rendah. Disiplin rakyat menentukan mereka selamat daripada Covid-19.

“Walaupun tak ada ‘lockdown’, tetapi mereka salah satu negara yang paling baik dalam mengawal Covid-19 kerana disiplin rakyat yang menjaga kepentingan dan keselamatan diri masing-masing.

“Kita perlu amal kawalan kendiri atau ‘self regulation’ untuk memastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling,” katanya.

FMT

Anak, bapa sama naik hisap dadah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker