Kluster baru Covid-19 dikesan di tapak pembinaan Kuala Lumpur

Share

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu lagi kluster baru Covid-19 iaitu di satu tapak pembinaan di Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia selepas 28 kes positif wabak koronavirus (Covid-19) di kesan di kawasan itu yang terletak di daerah Titiwangsa.

“KKM mengesan satu lagi kluster baru, iaitu kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur.

“Kluster tersebut mungkin ada kaitan dengan kluster lain seperti perhimpunan Seri Petaling, tetapi kalau dikira ia sudah lama sangat.

“Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan dan setakat ini kita belum ada bukti kukuh untuk kaitkan kluster baru (kluster pembinaan Kuala Lumpur) dengan kluster Kampung Baru atau Pasar Selayang,” katanya pada sidang media harian beliau mengenai Covid-19 di sini, hari ini.

Katanya, kesemua kes positif virus berkenaan yang dikesan di tapak pembinaan itu melibatkan bukan warganegara Malaysia.

32% kematian Covid-19 babitkan pesakit berumur 61-70 tahun

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, KKM mendapati sebanyak 32 kes atau 32.2% daripada 99 kes kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan di negara ini, membabitkan kumpulan umur dari 61 hingga 70 tahun, tertinggi berbanding kumpulan usia lain.

Pada masa sama, kumpulan umur ke-2 tertinggi pula membabitkan pesakit yang berusia antara 71 hingga 80 tahun, iaitu sebanyak 19 kes.

Katanya, dapatan itu berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui semakan mortaliti ke atas 99 daripada 105 kes kematian yang dilaporkan di Malaysia.

Katanya, golongan warga emas agak terjejas akibat wabak itu dengan banyak kes jangkitan dan kematian adalah dalam kalangan kumpulan umur 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, warga emas adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan kerana faktor umur dan juga penyakit kronik yang sedia dihidapi.

“Ini satu isu global yang dihadapi oleh negara-negara yang terjejas dengan wabak ini.

“Walaupun kita belum memahami sepenuhnya jangkitan ini, namun jelas bahawa risiko jangkitan meningkat mengikut usia dan individu yang mempunyai penyakit kronik atau penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, penyakit buah pinggang dan barah.

“Faktor penyakit NCD (seperti merokok dan obesiti) adalah lebih berisiko untuk mendapat gejala jangkitan lebih teruk dan angka kematian lebih tinggi,” katanya.

FMT

(Visited 13 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!