PKP: TASKA dibenar beroperasi, perlu patuhi SOP ketat

Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di seluruh negara dibenarkan beroperasi menggunakan 100 peratus kapasiti pekerja mulai Isnin ini, tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kelulusan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu merangkumi pematuhan terhadap aspek menjaga penjarakan sosial, sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan keperluan untuk melakukan operasi nyah cemar di premis masing-masing sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Berdasarkan SOP MKN, aktiviti dan protokol TASKA dibahagikan kepada empat jenis tindakan, iaitu sebelum, semasa dan selepas operasi, selain langkah sewajarnya yang perlu diambil pengusaha sekiranya wujud kes jangkitan positif di premis mereka.

“Pengoperasian semua jenis TASKA dibenarkan dengan waktu kehadiran pelanggan ialah lapan jam, namun kelulusan ini tidak terpakai kepada TASKA yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebelum membuka operasi, pengusaha, guru dan kakitangan TASKA perlu disahkan bebas COVID-19, manakala premis mesti dibersihkan dan dinyah kuman.

“Guru dan kakitangan perlu diberi latihan langkah-langkah kebersihan, keselamatan serta pelaksanaan aktiviti berkaitan.

“Borang akuan pengisytiharan kesihatan juga harus diisi oleh kanak-kanak, ibu bapa/penjaga dan kakitangan sebelum TASKA beroperasi.

“Kakitangan atau kanak-kanak yang mempunyai suhu badan 37.5 Celsius ke atas dilarang berada di TASKA,” menurut garis panduan MKN yang diterbitkan, hari ini.

Semasa beroperasi, pengusaha dikehendaki menyediakan cecair pembasmi kuman dan meletakkan label penjarakan sosial seperti tanda jarak satu meter di lantai, khususnya di ruang makan, tidur dan tempat membasuh tangan.

Selain itu, setiap kakitangan TASKA perlu memakai topeng muka sepanjang masa ketika berada di premis dan melatih kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga kebersihan dengan kerap membasuh tangan serta menjaga jarak sosial.

Pasca operasi saban hari, pengusaha TASKA wajar memaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk memandikan anak mereka terlebih dahulu serta mengelakkan kontak terus dengan warga emas di rumah.

“Jika wujud kes positif dalam kalangan warga TASKA, premis hendaklah ditutup serta-merta dan berhubung dengan pejabat kesihatan terdekat untuk mendapatkan khidmat nasihat.

“Lakukan nyah cemar mengikut panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” menurut SOP itu, namun tidak memperincikan sama ada TASKA dibenarkan kembali dibuka sekiranya operasi nyah cemar sudah dilakukan di premis terbabit.

BH

Kerajaan hasrat wujudkan tadika elit

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker