COVID-19 adalah virus semula jadi – WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam menegaskan sekali lagi, COVID-19 adalah virus semula jadi selepas Presiden Donald Trump mendakwa beliau telah melihat bukti bahawa ia berasal daripada sebuah makmal di China.

Saintis percaya virus itu menjangkiti manusia daripada haiwan, yang tercetus di China pada akhir tahun lalu, iaitu berkemungkinan dari sebuah pasar menjual binatang eksotik di Wuhan.

Kelmarin, Presiden Amerika Syarikat (AS) mendakwa beliau telah melihat bukti yang Institut Virologi Wuhan dikatakan adalah sumber sebenar wabak itu tetapi enggan memberikan butiran lebih terperinci.

Ketika ditanya mengenai dakwaan Trump berkenaan pada sidang media maya, Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan, menegaskan bahawa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu telah berkali-kali mendengar penerangan maklumat daripada saintis yang mengkaji virus terbabit.

“Kami pasti virus itu adalah semula jadi,” katanya mengulangi semula pendirian yang dinyatakan WHO sebelum ini.

Terdahulu, WHO semalam memaklumkan bahawa ia mahu dijemput untuk mengambil bahagian dalam siasatan China terhadap punca haiwan mencetuskan pandemik itu yang sudah meragut lebih 230,000 nyawa di seluruh dunia.

Ryan menekankan, adalah penting untuk mengenal pasti ‘perumah’ semula jadi virus itu, sekali gus memahami bagaimana ia boleh berpindah kepada manusia.

“Tujuan memahami perkara itu ialah supaya kita dapat melaksanakan langkah pencegahan dan kesihatan awam yang diperlukan bagi mengelakkan ia daripada berlaku lagi di mana-mana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, pula terus menolak kritikan terhadap organisasi berkenaan, terutama oleh Trump yang menggantung pendanaan daripada Washington selepas menuduh agensi PBB itu memandang remeh wabak itu pada peringkat awal dan berlebihan menghormati China.

Tedros menjelaskan, WHO telah mengeluarkan tahap amaran tertinggi dengan mengisytiharkan wabak itu sebagai ‘kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan antarabangsa’ pada 30 Januari lalu ketika masih belum ada kematian dan hanya 82 kes jangkitan dilaporkan di luar China.

“Kami tidak membuang masa langsung. Dunia mempunyai masa mencukupi untuk campur tangan,” katanya pada sesi taklimat, semalam.

Kenyataan beliau itu menyusul selepas jawatankuasa kecemasan WHO mengadakan pertemuan untuk kali pertama sejak membuat perisytiharan, tiga bulan lalu.

“Sudah tentu, pandemik itu kekal menjadi kecemasan kesihatan awam serta kebimbangan antarabangsa,” kata Tedros selepas menerima cadangan daripada jawatan berkenaan yang terdiri daripada 19 pakar bebas.

Sambil mengekalkan tahap amaran global, barisan pakar terbabit mengemukakan sejumlah cadangan umum mengenai bagaimana WHO dan negara di dunia harus bertindak balas kepada pandemik itu.

Antara lain, menyeru kerjasama meluas untuk mengenal pasti sumber zoonotik virus itu dan laluan pengenalannya terhadap populasi manusia.

Selain itu, WHO diseru supaya mengemas kini cadangan mengenai langkah perjalanan yang sesuai berhubung wabak berkenaan, dan mempertimbangkan ‘keseimbangan antara manfaat dengan akibat tidak diingini’ seperti kesukaran menghantar bantuan kemanusiaan apabila banyak penerbangan tidak beroperasi. – AFP

Related Articles

One Comment

  1. Satu cubaan oleh WHO untuk melindungi negara China dari bertanggungjawab terhadap penularan Covid-19. WHO sudah lama didakwa telah dipengaruhi oleh Kerajaan Komunis China melalui Ketua Pengarahnya Tedros dan banyak yang telah mendedahkan hubungan rapatnya dengan pemimpin2 China. Pakar2 Virus dari Jepun juga telah menyatakan dengan tegas Covid-19 adalah dihasilkan dalam makmal, berasal dari virus di makmal Amerika tetapi telah dilarikan ke Wuhan untuk dijadikan senjata biologi. Kajian2 saintifik menunjukkan virus semula jadi biasanya bersifat lokal dan tertakluk pada cuaca. Covid-19 yang pendamik merintasi negara tanpa tergugat oleh musim dan cuaca menunjukkan ia direka di makmal oleh saintist2. Dan ramai yang menuding jari kepada Kerajaan China Komunis.

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker