Moratorium Bagi Pinjaman Sewa Beli Perlu Dirungkai Segera, Elak Keresahan Rakyat – Zahid

Share

Kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam berkenaan dengan kadar faedah akan dikenakan bagi pinjaman sewa beli kenderaan bercanggah dengan keputusan yang telah diumumkan sebelum ini.

Presiden UMNNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan pada Mac lalu telah bersetuju untuk memberikan moratorium secara automatik bagi pembayaran balik pinjaman termasuk pinjaman sewa beli kenderaan selama enam bulan bermula pada April hingga September tahun ini.

Ujarnya, selain itu, moratorium ini juga tidak lagi diberikan secara automatik kepada semua peminjam seperti yang sedang dilaksanakan sekarang di mana bermula hari ini, peminjam perlu membuat permohonan daripada institusi kewangan untuk mendapatkan penangguhan pembayaran pinjaman bagi pinjaman sewa beli ini.

“Saya berpandangan, keputusan ini lebih memihak kepada kepentingan industri perbankan. Mengubah polisi demi menjaga kepentingan sektor kewangan di saat rakyat dan sektor-sektor lain sedang bergelut dengan bebanan kewangan adalah sesuatu yang mengecewakan rakyat.

“Keluhan dan kegelisahan rakyat berkaitan moratorium pinjaman sewa beli perlu diselesaikan segera. Kerajaan digesa mencari solusi terbaik bagi merungkai kemelut ini.

“Jangan kita bebani rakyat yang sudah terbeban dengan kehilangan punca pendapatan, pemotongan gaji, diberikan cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja dan tidak dapat menjalankan perniagaan. Segala bentuk ‘unnecessary stress’ berkaitan polisi kerajaan perlu dielakkan,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambah Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, keprihatinan kerajaan dengan memahami denyut nadi rakyat ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19 perlu diutamakan.

“Kita harus ingat, di samping menghadapi pandemik COVID-19 ini, negara juga bakal berhadapan dengan krisis ekonomi. Maka polisi kerajaan harus mengambil kira impak dan risiko terhadap keseluruhan sektor dalam ekonomi, bukan hanya memberi pertimbangan kepada satu sektor sahaja.

“Saya amat berharap kerajaan memberikan penjelasan segera, secara tuntas, dalam bahasa mudah untuk difahami oleh rakyat.

“Isu yang berkaitan kewangan dan pinjaman ini bersifat teknikal, mudah menimbulkan kekeliruan, oleh itu penjelasan dalam bentuk yang mudah difahami amatlah penting,” gesa Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Justeru itu katanya rakyat mengharapkan kerajaan melalui BNM dan Kementerian Kewangan dapat mitigasikan situasi tersebut sebaik mungkin, “sama-sama kita menang, sama-sama kita bina negara ini semula”. – UMNO ONLINE

Leave a Reply