MITI benarkan tapi ‘little Napoleon’ di PBT halang – MEF

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), kesal dengan campurtangan ‘little Napoleon’ di kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam kelulusan untuk sektor ekonomi berfungsi sepenuhnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Portal Berita Harian Online, hari ini memetik Pengarah Eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan, sebagai berkata, pihaknya menerima kira-kira 10 aduan dalam kalangan operator pengeluar barangan elektronik yang dilarang oleh PBT untuk terus beroperasi tanpa sekatan masa.

Katanya, alasan yang diberi adalah keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang diumumkan semalam dan berkuatkuasa hari ini tidak terpakai selagi belum mendapat ‘restu’ PBT.

“Inilah yang dikatakan ‘little Napoleon’ atau kumpulan yang rasa mereka lebih berkuasa daripada pihak atasan, sekali gus merencatkan matlamat kerajaan untuk memacu kembali ekonomi negara.

“Kita harap masalah ini dapat dirungkai dengan segera bagi mengelak sebarang kerugian dan menyebabkan kepincangan dalam aspek operasi syarikat yang terbabit.

“Buat masa ini, operator berkaitan terpaksa akur dengan keputusan PBT itu kerana ingin menjaga hubungan baik dalam menjalankan perniagaan, namun kita minta kerajaan dapat lihat isu ini supaya tidak berpanjangan,” katanya yang dipetik oleh portal itu.

Semalam, Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali, ilaporkan berkata, kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang mendapat kelulusan beroperasi ketika PKP boleh menjalankan aktiviti secara kapasiti penuh tanpa sekatan sebarang sekatan masa.

Bagaimanapun, kelonggaran itu tertakluk kepada kewajipan syarikat berkaitan untuk mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap bagi sektor masing-masing.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, sebagai contoh, syarikat di sektor pembuatan elektronik mempunyai dandang yang harus dipanaskan, sekurang-kurangnya empat jam sebelum boleh beroperasi untuk menghasilkan produk berkaitan.

Sehubungan itu, katanya, kekangan masa mengikut garis panduan lama ketika PKP fasa ketiga iaitu operasi hanya dihadkan pada jam 8 pagi hingga 8 malam menjejaskan kadar pengeluaran produk, selain berupaya mengundang kerosakan kepada alat digunakan.

“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya tutup dandang ini dan kembali menghidupkannya kerana ia akan merosakkan alat berkenaan, justeru operasi tanpa sekatan masa atau selama 24 jam tanpa henti sebenarnya amat diperlukan.

“Justeru, kerajaan memberi kelonggaran, tetapi perkara ini berdepan kepincangan kerana ada campur tangan yang tidak sepatutnya daripada pihak lain,” katanya.

Beliau turut menyuarakan harapan supaya industri yang berada di rantaian bawa sektor pengeluaran dan perkhidmatan berupaya diberikan kelonggaran secara berperingkat.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker