Pertubuhan Rohingya mohon maaf, tak sependapat dengan Zafar

Share

Suatu gabungan pertubuhan berkaitan pelarian Rohingya membidas kenyataan Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani, serta memohon maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani 17 pertubuhan berkenaan, mereka menyifatkan kenyataan Zahar itu sebagai tidak bertanggungjawab dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

Menurut NGO berkenaan, Zafar – yang mengeluarkan kenyataan sehingga menimbulkan salah faham serta sentimen negatif kepada pelarian Rohingya – tidak pernah dilantik sebagai presiden mereka.

“Dia (Zafar) bukan pemimpin kami dan sebenarnya kami tiada pemimpin di Malaysia. Dia tiada hak untuk mengeluarkan kenyataan mewakili kami.

“Oleh itu, semua pelarian Rohingya menentang kenyataan yang tidak realistik dan tidak bertanggungjawab itu.

“Dia telah digunakan oleh musuh kita di sini dan di Myanmar untuk mencemarkan imej kami mengganggu perlindungan sementara yang aman di Malaysia sementara kita menunggu sama ada untuk kembali ke Myanmar atau akan ditempatkan semula ke negara ketiga,” kata kenyataan itu, hari ini.

Isu Rohingya menjadi perhatian ramai di media sosial sejak beberapa hari lalu selepas pihak berkuasa memintas cubaan sebuah bot membawa pelarian Rohingya memasuki negara ini pada 16 April lalu.

Nafi buat kenyataan

Bot tersebut membawa kira-kira 200 orang Rohingya yang mahu memasuki Malaysia menerusi perairan Langkawi.

Tindakan itu mendapat perhatian Zafar yang kemudiannya mengeluarkan kenyataan supaya kerajaan bertanggungjawab terhadap pelarian berkenaan.

Zafar turut didakwa mengeluarkan kenyataan menghina rakyat Malaysia, menuntut hak kerakyatan penuh.

Bagaimanapun, dia menafikan pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu dan menyifatkannya sebagai tuduhan palsu.

Kenyataan Zafar termasuk surat tuntutan yang tersebar di media sosial telah menimbulkan rasa kurang senang rakyat negara ini.

Polemik terbaru itu juga menyaksikan sesetengah pihak membangkitkan masalah yang dibawa etnik Rohingya dan menjadikan ia sebagai salah satu alasan menjustifikasi sikap kerajaan sekarang.

Dalam kenyataan itu, NGO berkenaan merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia yang membenarkan mereka tinggal di negera ini.

“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan semua rakyatnya kerana membenarkan kami tinggal di negara ini buat sementara waktu.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan beliau namun kami tidak mempunyai kuasa untuk menghalang beliau daripada berbuat demikian,” menurut kenyataan itu lagi

Kenyataan itu turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Zafar berdasarkan undang-undang negara ini.

Mkini

Leave a Reply