Tiada kertas siasatan dibuka terhadap Ebit Lew, kata Bukit Aman

Bukit Aman berkata tiada kertas siasatan dibuka terhadap pendakwah bebas Ebit Liew, yang dipanggil polis selepas usaha kebajikannya dilaporkan di media massa dan sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed memaklumkan polis terpaksa mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memelihara keamanan dan kesejahteraan, dengan memanggil Liew berkaitan reaksi orang ramai berkenaan “tindakannya memaparkan aktiviti kebajikan yang dilakukan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan”.

Berdasarkan pemerhatian, katanya, ramai dalam kalangan masyarakat memberi respon positif dan menyokong aktiviti kebajikan Lew.

“Namun, ada sebahagian dilihat kurang senang dengan tindakan beliau mempamerkan aktiviti tersebut di media sosial kerana dilihat seperti mahu menunjuk-nunjuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir menjelaskan Liew sememangnya diberi kebenaran oleh polis untuk menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mereka yang terkesan sepanjang tempoh PKP.

Kawalan itu yang mula berkuatkuasa pada 18 Mac dilanjutkan lagi sehingga 12 Mei.

Polis tidak pernah menghalang Liew selagi mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tambahnya.

Semalam, Lew mengumumkan menghentikan bantuan secara langsung kepada golongan memerlukan, tetapi akan terus membantu golongan tidak berkemampuan dengan memindahkan wang ke akaun mereka.

Perkembangan itu selepas beliau dipanggil memberi keterangan di Bukit Aman semalam, susulan laporan polis oleh pihak yang mempertikaikan bantuannya.

Ini termasuk memberikan rumah baru kepada warga emas yang terlantar dan keluarganya yang tinggal dalam keadaan kotor.

Lew aktif membantu individu memerlukan sejak PKP bermula 18 Mac lalu, termasuk memberikan pelbagai sumbangan kepada petugas barisan depan.

Liputan media bagaimanapun menarik perhatian pihak yang mempersoalkan peranan pihak berkuasa seperti kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Kedah serta masyarakat sekeliling dalam membantu golongan miskin.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker