Pulang dari kampung dibenarkan 1-3 Mei

Orang ramai yang terkandas di kampung halaman dan mahu pulang ke kediaman masing-masing dibenarkan melakukannya dalam tempoh 3 hari, iaitu pada 1 hingga 3 Mei.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata mereka yang layak boleh mengemukakan permohonan bermula 26 Apr menerusi aplikasi Gerak Malaysia yang boleh dimuat turun daripada Google Playstore, Apple App Store dan Huawei App Gallery.

“Mereka hendaklah mengemas kini permohonan pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan.

“Seterusnya pada 1 Mei boleh menyemak status permohonannya dalam talian,” katanya.



Pada 22 Apr lalu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang tiada kemudahan internet boleh membuat temujanji dengan balai polis berdekatan untuk pendaftaran diri.

Pengumpulan data ini memerlukan butiran diri pendaftar, bilangan ahli keluarga yang mahu pulang bersama dan tempat tinggal mereka.

Huzir berkata semua kebenaran adalah melalui aplikasi Gerak Malaysia dan bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan berkenaan, permohonan secra bertulis untuk kebenaran perjalanan boleh dibuat di balai polis berhampiran.

“Keutamaan perjalanan hanya akan diberikan kepda pengguna aplikasi Gerak Malaysia,” katanya.



Huzir juga memaklumkan kenyataan media berhubung pendaftaran menerusi Gerak Malaysia akan dikeluarkan hari ini, diikuti sidang media khas pada 29 Apr mengenai pergerakan mengikut negeri, bagi memastikan perjalanan yang terlibat lancar dan teratur.

Huzir mengingatkan setiap pengguna lebuh raya dikehendaki merancang perjalanan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.

Individu yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan diingatkan tiada sebarang kemudahan makanan disediakan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Kemudahan surau juga ditutup dan sebarang aktiviti bersolat secara berjemaah tidak dibenarkan di kawasan R&R, termasuk di mana-mana bangunan, kawasan lapang dan tempat letak kereta.



“Hanya kemudahan tandas awam sahaja disediakan kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Huzir berkata kawasan tempat letak kereta hanyalah digunakan untuk tujuan rehat dan pengguna tidak sesekali dibenarkan keluar dari kenderaan semasa dalam tempoh rehat kecuali dengan tujuan penggunan tandas awam.

“Manakala stesen minyak di sepanjang lebuh raya hanya akan beroperasi antara 6 pagi hingga 12 tengah malam.

“Pengguna dilarang melakukan sebarang aktiviti berkumpulan dalam tempoh perjalanan tersebut,” katanya.



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker