Kebiasaan yang luar biasa pada Ramadan tahun ini

Oleh Dr Azlan Shaiful Baharum

SEMALAM kita menyambut ketibaan penghulu segala bulan iaitu Ramadan al-Mubarak. Ramadan Mubarak atau Ramadan Kareem diucapkan kepada pembaca. Tahun ini kita akan menyambut bulan yang mulia ini seperti biasa dengan suasana yang luar biasa. Ia tidak terjangkau di kotak pemikiran kita beberapa bulan sebelum wabak Covid-19 melanda kita.

Solat tarawikh hanya di rumah masing-masing berimamkan ketua keluarga, yang mungkin pertama kali menjadi imam seumur hidup! Perasaan yang sayu, sedih, terharu dan sebak bercampur baur, tidak terkata. Allah ambil semua nikmat itu sementara. Apapun kejanggalan itu pasti ada hikmahnya. Agar semua dalam kalangan kita merenung dan berfikir. Setiap sesuatu yang berlaku pasti bersebab. Namun keistimewaan Ramadan tetap tidak akan hilang serinya. Ia tetap satu bulan yang lain dari yang lain.

Puasa adalah ibadah yang istimewa kerana memiliki banyak keutamaan. Di antara keistimewaannya iaitu puasa merupakan perisai bagi seorang muslim. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda: “Puasa adalah perisai” (H.R. Bukhari dan Muslim). Yang dimaksudkan sebagai perisai adalah puasa akan menjadi pelindung yang akan melindungi pelakunya di dunia dan juga di akhirat.



Di dunia ia akan menjadi pelindung yang akan menghalanginya untuk menurut godaan syahwat yang terlarang ketika berpuasa. Oleh sebab itu tidak boleh bagi orang yang berpuasa untuk membalas orang yang menganiaya dirinya dengan balasan yang sama, sehingga jika ada yang mencela ataupun menghina dirinya maka hendaklah dia mengatakan, “Aku sedang berpuasa.”

Manakala di akhirat maka puasa akan menjadi perisai baginya dari azab api neraka, yang akan melindungi dan menghalangi dirinya dari api neraka pada hari kiamat (dipetik dari Syarah al-Arba’in An-Nawawiyyah, Syaikh Ibnu ‘Utsaimin RH). Puasa akan menjadi perisai yang menghalangi dari siksa api neraka. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang hamba yang berpuasa di jalan Allah kecuali akan Allah akan jauhkan dia (kerana puasanya) dari neraka sejauh tujuh puluh tahun” (H.R. Bukhari dan Muslim). Rasulullah SAW juga bersabda: “Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, puasa adalah perisai, yang dengannya seorang hamba membentengkan dirinya dari api neraka, dan puasa itu untuk-Ku, Aku-lah yang akan membalasnya” (H.R. Ahmad).

Syeikh Salih Fauzan Rahimahullah menjelaskan: “Puasa adalah penghalang antara dirinya dengan api neraka. Hal ini merangkumi puasa yang wajib seperti puasa Ramadan dan juga puasa yang sunnah seperti puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa Isnin & Khamis, puasa tiga hari setiap bulan, puasa Zulhijjah, puasa ‘Arafah, dan puasa ‘Asyura” ( dipetik dari Kitab Al-Minhatu Ar-Rabaniyyah fii Syarhi Al-Arba’in An-Nawawiyyah).

Inilah di antara keutamaan ibadah puasa, yang akan menjadi perisai yang melindungi seorang muslim di dunia, mahupun di akhirat. Oleh itu, kita hendaklah berpuasa seperti biasa dengan melakukan amal kebajikan yang berlipat kali ganda kerana tidak diganggu dengan urusan kerja, kesibukan dunia yang melalaikan kita untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pengisian Ramadan yang maksimum pada tahun ini. Sambutan yang agak berbeza dan luar biasa ini akan dikenang sampai bila-bila sepanjang hayat. Ia akan diingati sebagai Ramadan yang cukup istimewa dengan hikmah yang disediakan oleh Allah SWT untuk semua umat Muhammad SAW pada zaman ini. Moga dengan doa kita pada bulan Ramadan nanti akan membersihkan muka bumi ini dari wabak Covid-19 dengan asbab doa-doa dan amalan kita kelak. Semoga Allah memudahkan kita untuk menyempurnakan ibadah puasa dan meraih banyak pahala dan pelbagai keutamaannya walaupun diuji.



Penulis ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker