WAKTU OPERASI PERKHIDMATAN PENGANGKUTAN AWAM SEPANJANG BULAN RAMADAN

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
23 APRIL 2020

Mulai 24 April 2020, perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 pagi dan 4.00 petang hingga 10.00 malam sepanjang bulan Ramadan ini.

Perkhidmatan pengangkutan awam yang terlibat ialah LRT, MRT dan KL Monorail di bawah kendalian Rapid Rail Sdn Bhd serta perkhidmatan bas di bawah kendalian Rapid Bus Sdn Bhd termasuk bas henti-henti, bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor, semua feeder bas serta semua jenis perkhidmatan tren di bawah kendalian KTMB.

Manakala frekuensi kekerapan bagi operasi perkhidmatan rel Rapid KL adalah setiap 10 minit ketika waktu puncak dan setiap 30 minit selepas waktu puncak.

Perkhidmatan pengangkutan awam darat di negeri Sabah dan Sarawak juga disyorkan untuk beroperasi berdasarkan jadual ini, namun tertakluk kepada pertimbangan khusus daripada kerajaan negeri dalam mengambil kira kesesuaian di kedua-dua negeri tersebut.

Perubahan pada waktu operasi petang adalah bertujuan memudahkan perjalanan pengguna pengangkutan awam sepanjang bulan Ramadan dan menghormati para kakitangan khususnya yang beragama Islam dalam menjalani ibadah puasa.

Orang ramai khususnya pengguna pengangkutan awam dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengamalkan penjarakan sosial serta sentiasa menjaga kebersihan diri sebagai langkah pencegahan dalam berdepan penularan pandemik COVID-19.

Dikesempatan ini, saya dan warga Kementerian Pengangkutan Malaysia ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
23 APRIL 2020

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker