Majlis pelajar yakin kerajaan sedia SOP terbaik balik kampung, elak kluster baru Covid-19

Share

Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yakin kerajaan akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) terbaik bagi memastikan pelajar yang kini terkurung di kampus dapat pulang ke kampung halaman.

Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, pemilihan SOP yang baik dapat mengelakkan lahirnya kluster baru Covid-19 dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

“MPPK juga mohon semua pihak memberi ruang kepada kerajaan untuk membuat persiapan sebaiknya,” katanya kepada FMT.

Terdahulu kerajaan memaklumkan bahawa ia bersedia membenarkan pelajar yang masih berada di kampus universiti masing-masing sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas untuk pulang.

ADVERTISING

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, pergerakan pulang itu perlu dilakukan dengan pematuhan SOP yang ketat, termasuk saringan kesihatan kerana ia melibatkan jumlah pelajar yang besar.

Ismail berkata, pertimbangan kerajaan itu dibuat selepas mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mendapati tiada kluster Covid-19 di kampus dan pelajar tidak menunjukkan gejala jangkitan sehingga kini.

Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri
Dalam pada itu, Amir berharap golongan itu diberi perhatian, terutamanya daripada segi pengangkutan, kesihatan dan prosedur yang perlu dipatuhi seperti yang ditetapkan.

Katanya, ini bagi memastikan mereka dapat pulang ke kampung halaman tanpa perlu membayar kos terlalu tinggi dan membebankan atau sekiranya terdapat inisiatif lain yang boleh dilaksanakan secara percuma untuk kebaikan bersama.

“Pemilihan SOP terbaik dan ketat adalah satu keperluan sekiranya keputusan untuk membawa pulang pelajar dipersetujui.

“Ini kerana ia melibatkan pergerakan lebih 80,000 pelajar yang berada di dalam dan di luar kampus yang menuntut ketelitian yang tinggi” katanya.

FMT

Leave a Reply