GARIS PANDUAN UNTUK PERKHIDMATAN PENGHANTARAN MAKANAN DAN BUNGKUSAN MENGGUNAKAN MOTOSIKAL (PARCEL HAILING – P HAILING)

1. Kementerian Pengangkutan memandang serius soal kesihatan dan keselamatan semua pengguna serta kakitangan pengangkutan awam. Perkara ini penting bagi kita semua rakyat Malaysia, pengguna dan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran serta pembekalan sebagai usaha bersama membasmi penularan wabak COVID-19 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

2. Oleh itu, mana-mana syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan motosikal bagi tujuan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) secara dalam talian mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Berhubung perkara ini, Kementerian Pengangkutan telah mengkategorikan perniagaan ini sebagai p-hailing, iaitu perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal yang hanya untuk penghantaran makanan, minuman dan bungkusan sahaja.

3. Penunggang wajib memiliki lesen memandu penuh (CDL) yang sah dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun. Penunggang juga bebas daripada senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) / Polis Diraja Malaysia (PDRM).

4. Penunggang hendaklah mematuhi semua peraturan-peraturan jalan raya seperti memakai topi keledar dan sebagainya. Kotak yang akan dibawa bagi mengisi barangan hendaklah mematuhi saiz yang telah ditetapkan di bawah kaedah pembinaan dan penggunaan JPJ.

5. Semua syarikat atau individu dinasihatkan supaya mempunyai perlindungan insurans kepada penunggang dan motosikal yang digunakan berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan.

6. Semua operator dan penunggang hendaklah menitikberatkan soal kesihatan, mengamalkan penjarakan sosial dan transaksi tanpa sentuhan atau contactless transaction selagi mana boleh disediakan. Semua penunggang juga dinasihatkan untuk memakai topeng muka, menggunakan pembasmi kuman atau hand sanitizer dan membasuh tangan secara kerap selepas membuat penghantaran.

7. Penunggang diminta untuk menjalankan proses sanitasi pembasmian kuman bagi kotak penghantaran setiap hari mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

8. Sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti COVID-19, pihak syarikat perlu membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam usaha mengesan kontak atau contact tracing pekerja yang telah dijangkiti COVID-19 dan pengurusan kontak.

9. Bagi perkhidmatan p-hailing (parcel-hailing) yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sekiranya penunggang dijangkiti COVID-19 atau mempunyai simptom, adalah menjadi tanggungjawab individu berkenaan untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan penularan termasuk kuarantin diri dan memastikan tiada perkhidmatan dilaksanakan.

PANDUAN LAIN

10. Atas dasar keselamatan, penunggang p-hailing dinasihatkan supaya tidak menggunakan lebuh raya antara negeri (inter-state) bagi jarak perjalanan melebihi 10KM. Penunggang juga perlu mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh MKN termasuk tidak memasuki zon merah. Ini bertujuan menjaga keselamatan mereka yang terpaksa melalui perjalanan jarak jauh dan mencegah daripada penyebaran wabak COVID-19. Penunggang diwajibkan menggunakan laluan motosikal yang diwartakan sekiranya ada, dan memakai pakaian yang mudah dilihat.

11. Waktu operasi adalah terhad dari jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam sahaja. Waktu operasi dan jenis barangan yang boleh dibawa tertakluk kepada zon yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tertakluk kepada peraturan-peraturan semasa.

12. Semua penunggang yang menghantar barangan perlu sentiasa membawa bersama-sama mereka surat pengesahan daripada syarikat majikan atau surat pendaftaran dengan PBT.

13. Kesemua penunggang p-hailing diwajibkan memuat turun dan mendaftar di aplikasi kendalian MKN iaitu mySejahtera (mysejahtera.malaysia.gov.my) dan perlu menunjukkan bukti pendaftaran kepada pihak penguatkuasa.

14. Berpandukan garis panduan ini, Kementerian Pengangkutan berharap rakyat Malaysia mendapat keyakinan bahawa penghantaran makanan dan bungkusan mereka selamat dan bersih tanpa risiko pencemaran dalam keadaan negara berdepan pandemik COVID-19.

15. Kementerian Pengangkutan akan terus memantau semua faktor kesihatan dan keselamatan yang berkaitan dengan pengguna serta penyedia pengangkutan awam berdasarkan garis panduan yang disarankan oleh KKM.

16. Sebarang aduan / pertanyaan mengenai MOT boleh e-mel ke [email protected], WhatsApp ke 019-2907723 atau layari laman web khusus (microsite) di pautan http://cccovid19.mot.gov.my/. Juga boleh hubungi talian Hotline MOT : 1800-88-7723 (8am-8pm) atau Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, di talian 03-88882010.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
20 APRIL 2020

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker