11 rakyat Malaysia antara 623 kes baru Covid-19 di Singapura



Sebaran :

covic-19

Seramai 11 rakyat Malaysia antara 623 kes baru Covid-19 yang dilaporkan di Singapura semalam dengan 1 kes berkaitan dengan kluster terbesar di republik itu, iaitu asrama pekerja asing S11 @ Punggol.

Merujuk kepada data lengkap yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura, pemegang permit kerja Singapura berusia 50 tahun menjadi warganegara Malaysia ke-2 yang berkait dengan asrama sama, yang merekodkan keseluruhan 1,123 kes positif.

Tiga lagi rakyat Malaysia tersenarai dengan 7 rakan mereka yang dikenal pasti berkait dengan kluster asrama di Jalan Kubor.



Kes baru juga melibatkan seorang wanita Malaysia daripada sektor penjagaan kesihatan awam, iaitu seorang jururawat berusia 34 tahun di Bright Vision Hospital sementara seorang lagi pemegang permit kerja, lelaki Malaysia berusia 58 tahun berkait dengan kes ke 3,306 yang dilaporkan sebelum ini, iaitu seorang rakyat Malaysia berusia 21 tahun.

Lima rakyat Malaysia yang lain masih diklasifikasi sebagai kes tempatan yang tidak mempunyai kaitan.

Merujuk kepada data harian, 11 kes baru itu menambah jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 di republik ini, kepada tidak kurang 80, dengan kes pertama diumumkan pada 17 Feb lalu dan tidak kurang daripada 15 orang pulih sepenuhnya.



Kira-kira 10 rakyat Malaysia dikaitkan dengan 6 kluster lagi termasuk 2 asrama, iaitu di Tech Park Crescent and Tampines, Mustafa Centre, SingPost, SAFRA Jurong, Project Glory dan sebuah premis makanan segera.

Semalam, Singapura melaporkan kematian yang ke-11 iaitu seorang lelaki Singapura berusia 95 tahun yang meninggal dunia di Raffles Hospital. Dia disahkan dijangkiti pada 13 April.

Semalam sahaja, republik itu merekodkan 558 kes baru yang berkaitan dengan asrama dan mencatat 4 kluster baru asrama.



Asrama berkenaan adalah Asrama Tuas South, Asrama Avery Lodge, Asrama Jurong Penjuru dan sebuah asrama di 4, Sungei Kadut, Street 2. Sebanyak 12 asrama diwartakan sebagai kawasan pengasingan dengan tidak kurang daripada 20 asrama yang terjejas.

Setakat ini, republik itu mencatatkan 5,050 kes positif, di mana 3,267 diklasifikasikan sebagai penghuni asrama, 258 melibatkan pemegang permit kerja yang tidak tinggal di asrama, 956 kes masyarakat tempatan dan 569 kes diimport.

Sebilangan besar penghuni asrama yang terjejas adalah dari Bangladesh, India, China dan Myanmar.



Bernama


Sebaran :


Leave a Reply