Permohonan secara atas talian (online) diwujudkan untuk Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) yang terjejas akibat Covid-19

KENYATAAN MEDIA
MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI

Permohonan secara atas talian (online) diwujudkan untuk Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) yang terjejas akibat Covid-19

Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyedari cabaran ekonomi yang terpaksa dihadapi oleh usahawan terutama dari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan micro yang paling terjejas akibat bencana Covid-19.

Ini kerana, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, aktiviti perniagaan tidak dapat berjalan seperti biasa.



Oleh yang demikian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Hj Yassin telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) Tambahan bernilai RM10 bilion yang mampu memberi keupayaan kepada PKS untuk bertahan.

Namun, timbul pula dakwaan syarat yang terlalu ketat dikenakan kepada PKS yang terjejas akibat Covid-19 sehingga menyukarkan mereka untuk membuat pinjaman melalui Kemudahan Bantuan Khas (KBK) ini.

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya ingin menjelaskan bahawa TEKUN Nasional melalui pendekatan mesra usahawan telah memudahcara permohonan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) di mana pada awalnya permohonan pinjaman melalui kaedah ‘Google Form’ dan juga e-mel.
Bagi memudahkan PKS, bermula pada 16 April 2020 permohonan secara atas talian (online) telah diwujudkan. Usahawan boleh membuat permohonan dengan mengisi di link http://fas.tekun.gov.my/cbrm/.

Hanya dokumen yang minimum yang perlu disertakan dalam permohonan tersebut.
1. Menandatangani borang penzahiran (declaration) dan penyata bank terkini (1 bulan).
2. Salinan MyKad pemohon dan pasangan.
3. Lesen perniagaan SSM/PBT/dokumen lain yang mengesah perniagaan.
4. Salinan salah satu bil utiliti.



Namun begitu berlaku kelewatan kelulusan permohonan atas beberapa faktor. Antara faktor tersebut ialah:
1. Dokumen permohonan tidak disertakan.
2. Maklumat borang permohonan yang tidak lengkap.
3. Permohonan bertindih (pemohon mengemukakan permohonan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) lebih daripada sekali).
4. Kekangan PKP meminimumkan pergerakan terutamanya staf TEKUN di cawangan-cawangan. Pemohon perlu ke pejabat TEKUN cawangan bagi menandatangani surat perjanjian apabila permohonan pinjaman telah diluluskan.

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM200 juta untuk skim ini. Setakat 17 April 2020, TEKUN Nasional telah menerima sebanyak 7,681 permohonan.

Untuk maklumat lanjut, pemohon boleh juga layari www.tekun.gov.my atau hubungi 03-9059 8888.

Saya mengalu-alukan setiap komen dan juga cadangan daripada semua pihak dan saya berharap Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) ini akan dapat membantu meringankan beban usahawan mikro dan seterusnya merancakkan kegiatan ekonomi Malaysia.



YB DATO SRI DR. HAJI WAN JUNAIDI BIN TUANKU JAAFAR
MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI
17 APRIL 2020

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker