Dadah : Jangan aniaya pekerja perkhidmatan penghantaran makanan

SEORANG pekerja perkhidmatan penghantaran makanan terkejut apabila pesanan yang diterimanya untuk menghantar bungkusan makanan, memberi impak dari segi undang-undang.

Ini kerana, silap haribulan, pekerja penghantar makanan yang ingin mencari rezeki dalam keadaan negara diancam wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), boleh didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebagai pekerja penghantar makanan, individu ini hanya tahu bahawa barang atau bungkusan yang dipesan untuk dihantar, mengandungi makanan. Bukannya barang terlarang.

Mujurlah gerak hatinya, membuka bungkusan tersebut dan roti canai yang perlu dihantar, turut mengandungi dua plastik lutsinar, dipercayai dadah.



Memetik laporan ASTRO Awani, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pekerja khidmat penghantaran itu menerima pesanan daripada seorang lelaki di Tropicana, Petaling Jaya, Selangor.

Dia dikehendaki menghantar satu bungkusan kepada penerima di Setapak, Kuala Lumpur.

“Semasa berada di kawasan Gombak, pengadu telah membuka bungkusan itu kerana berasa tidak sedap hati.

“Sejurus membuka bungkusan itu, dia dapati bungkusan itu mengandungi roti canai dan dua plastik lutsinar disyaki dadah,” kata Arifai.



Individu terbabit, ujar Arifai, kemudiannya membuat laporan polis berikutan penemuan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah Arifai, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek.

Gambar bungkusan tersebut turut tular di media sosial sehingga mengundang reaksi netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan menyalah guna perkhidmatan tersebut. – SM



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker