KKM masih perlu sumbangan PPE, bekalan sedia ada untuk 2 minggu, kata KP Kesihatan

Kementerian Kesihatan (KKM) masih menggalakkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menderma peralatan perlindungan peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan dalam merawat pesakit Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bekalan PPE bagi melindungi petugas barisan hadapan masih diperlukan kerana ia antara peralatan pakai buang yang digunakan setiap hari.

“Penggunaan PPE juga meningkat daripada 2 hingga 10 kali ganda berbanding dengan keadaan normal,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab isu bekalan PPE yang dilaporkan masih kekurangan sehingga ia terpaksa dijahit sendiri oleh petugas KKM.

Noor Hisham menjelaskan penggunaan PPE adalah setiap hari, berbeza dengan ventilator yang mencukupi setakat ini.

“Ventilator kita cukup, ada 956 unit, dah cukup tidak perlu ada pertambahan ventilator lagi. Tetapi tidak dengan PPE, NGO kalau nak derma, dermalah PPE kat kita (KKM). Kita masih terima PPE,” katanya.

Noor Hisham berkata, KKM mempunyai sistem pemeriksaan stok PPE di negeri dan hospital di seluruh negara.

Beliau berkata perolehan PPE adalah melalui 3 kaedah, iaitu secara pukal dari negeri dan pusat, perolehan di peringkat negeri dan secara derma daripada NGO.

“Apa yang penting ialah kita kena berterusan untuk mendapatkan PPE daripada perolehan. Setakat ini, PPE ada, sekurang-kurangnya 2 minggu kita boleh bertahan,” katanya.

Noor Hisham berkata KKM masih terus mendapatkan PPE daripada perolehan dan akan mengaturkan pengagihan kepada setiap negeri dan hospital.

Mengenai jumlah pesara kakitangan kesihatan yang menyertai barisan hadapan KKM, beliau berkata, setakat ini 65 pakar perubatan dan lebih 1,000 jururawat sudah berbuat demikian.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker