PH yang janji tak akan ada lantikan politik bukan PN – Najib

Najib Razak menempelak para pemimpin PH yang tidak habis-habis bercakap mengenai pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang membuat siri pelantikan politik untuk mengetuai badan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Dakwa Najib, sebelum PRU14 pada 2018 PH mengikrarkan janji bertulis untuk mengakhiri semua lantikan politik dan ini tidak seperti kerajaan PN.

“PH yang janji tak akan ada lantikan politik jika menang.

“PH yang mungkir janji dengan membuat lantikan politik secara berbaris-baris,” katanya.

Pada hantaran Facebooknya, Najib berkongsi beberapa laporan berita yang memetik kenyataan para pemimpin PH, termasuk bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, yang selepas mengambil alih kuasa pada 2018 berkata PH akan meneruskan dasar pelantikan politik individu yang berkelayakan.

Selain Mahathir, Najib berkongsi tajuk berita dari Oktober tahun lepas yang memetik bekas timbalan menteri Sivarasa Rasiah sebagai berkata PH “tidak pernah berjanji” untuk menghapuskan lantikan politik.

Begitu juga, Najib menegaskan bagaimana Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir juga mempertahankan tindakan itu, dilaporkan berkata “lantikan politik perlu dilihat secara positif.”

“Last-last (akhirnya), PH tuntut PN tepati janji yang PH mungkir. Hang fikir?” Kata Najib menyindir.

Dalam hantaran berasingan, Najib mendakwa pelantikan Pengerusi DAP Tan Kok Wai sebagai duta khas Malaysia ke China adalah satu lagi contoh janji yang tidak ditepati PH.

Tan dalam temu bual bersama Malaysiakini, tidak lama selepas keruntuhan pentadbiran PH berkata bahawa anggota dan pemimpin DAP tidak akan melepaskan jawatan mereka di dalam badan kawal selia yang diletakkan di semua peringkat kerajaan.

Bercanggah dengan dakwaan Najib, janji PH nombor 22 dalam Buku Harapan hanya menyatakan: “Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.”

Dokumen Buku Harapan tidak ada menyebut langsung mengenai menghapuskan pelantikan politik dalam jawatan lain.

Perhatian terbaru mengenai pelantikan politik dalam jawatan kerajaan susulan spekulasi pelbagai profesional yang menerajui GLC dan entiti berkaitan kerajaan akan digantikan oleh ahli politik PN.

Antaranya, Anggota Parlimen Machang Ahmad Jazlan yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia menggantikan veteran industri Bakke Mohd Salleh yang dilaporkan telah diarahkan oleh kerajaan untuk mengosongkan jawatannya.

Semalam, dilaporkan juga bahawa semua anggota parlimen yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan akan dilantik mengetuai GLC, menurut Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, yang juga menteri (undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker