Pertimbangkan Semula Buka Perniagaan ‘Non-Essentials’, Keselamatan Dan Kesihatan Umum Tidak Boleh Dikompromi – Tok Mat Hasan

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan untuk membuka semula beberapa jenis perniagaan harus diberi pertimbangan semula sesuai seruan Kementerian Kesihatan Malaysia dan reaksi orang ramai.

Katanya, operasi perniagaan seperti kedai gunting rambut dan dobi sebaiknya perlulah ditangguhkan kerana ia bukan keperluan mendesak atau ‘non-essentials’, malah penganjuran bazar Ramadan juga tidak seharusnya diberikan kelonggaran.

“Reaksi orang ramai terhadap pembukaan perkhidmatan ‘non-essentials’ ini jelas tidak bersetuju.

“Malah kebanyakan pemain sektor tersebut juga telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk beroperasi dalam keadaan pandemik sebegini.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mesti dikuatkuasakan dengan tegas sehingga Malaysia berjaya mencapai unjuran kes COVID-19 yang agak stabil,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau memberi reaksi demikian ekoran keputusan kerajaan melanjutkan PKP sehingga 28 April ini, beberapa jenis perniagaan dan perkhidmatan dibenarkan beroperasi seperti sektor pembinaan, penyelidikan dan pembuatan termasuklah juga kebenaran operasi kedai dobi dan kedai gunting rambut.

Ulas Mohamad lagi, keutamaan kerajaan kini ialah memastikan kepentingan kesihatan umum tidak dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Setiap dari kita harus memainkan peranan dalam menyumbang kepada survival komuniti kita. Tiada yang lebih penting dari memelihara nyawa dan keselamatan umum.

“Insya-Allah, sebaik sahaja pandemik ini berakhir, kita boleh bergaya semahunya dengan apa jua penampilan, berhari raya sepuasnya, menganjurkan pelbagai bazar dan bukan sekadar bazar Ramadan dan melakukan ziarah-menziarahi saudara-mara dan rakan taulan selayaknya,” tambahnya Mohamad yang mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan.

Oleh kerana itulah katanya, tugas semua rakyat ialah memutuskan rangkaian pandemik COVID-19 dan mengurangkan jangkitan.

“Duduklah rumah, jaga kebersihan dan amalkan penjarakkan fizikal,” gesanya. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker