Miti: 5 hari proses permohonan operasi syarikat semasa PKP

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan mengambil masa 5 hari bagi memproses permohonan operasi syarikat sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam soalan lazim berkaitan PKP, bilangan 3 yang dikeluarkan hari ini, MITI berkata, sekiranya permohonan itu berjaya, surat kelulusan akan dikeluarkan oleh Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 2.0. melalui pautan laman sesawang https://application.miti.gov.my

“Syarikat disaran untuk menyemak status permohonan mereka di sistem tersebut dari semasa ke semasa.

“Mereka hanya boleh memulakan operasi selepas mendapat kelulusan daripada Miti,”menurut kementerian.

Menurut Miti, adalah satu kesalahan jenayah di bawah Peraturan 7 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 sekiranya syarikat yang diluluskan untuk beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP melanggar syarat beroperasi.

“Mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Syarikat juga boleh dikenakan tindakan undang-undang, tertakluk kepada undang-undang, peraturan, atau undang-undang kecil berkaitan dengan bidang,” katanya.

Bagi syarikat yang ingin menambah kapasiti tenaga kerja walaupun telah memperoleh kebenaran untuk beroperasi semasa fasa pertama dan kedua PKP Miti berkata, mereka perlu mengemukakan semula permohonan di CIMS 2.0.

Sekiranya permohonan ditolak, syarikat boleh membuat rayuan di CIMS 2.0 dan menyemak status permohonan mereka di sistem berkenaan.

“Disebabkan kekangan teknikal, semakan permohonan melalui panggilan telefon tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Soalan lazim sebanyak 17 muka surat ini boleh diperolehi di laman web MITI di https://www.miti.gov.my/miti/resources/FAQ_MITI_BIL_3.pdf

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 10 April, 2020 berkata kerajaan bersetuju supaya beberapa sektor ekonomi yang terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Pada hari yang sama, Miti berkata, industri lain yang turut dibenarkan beroperasi ialah mesin dan peralatan, industri aeroangkasa dan perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang terhad kepada guaman, minyak & gas dan aktiviti berkaitan Covid-19.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker