3 kematian Covid-19, 153 kes baru

Jumlah kematian Covid-19 meningkat kepada 76 kes, selepas 3 lagi pesakit yang dijangkiti virus itu meninggal dunia awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 153 kes baru dilaporkan hari ini berbanding 184 semalam, menjadikan semuanya 4,683 orang positif Covid-19 setakat ini.

Katanya, 66 pesakit positif virus itu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

“Daripada jumlah tersebut, 37 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.

Sehingga kini, seramai 2,499 pesakit positif Covid-19 masih dirawat di hospital seluruh negara.

Katanya, 113 pesakit sembuh sepenuhnya hari ini, menjadikan keseluruhan 2,108 orang atau 45% daripada semua kes.

Hisham berkata, 3 kematian itu membabitkan 2 lelaki dan seorang wanita di Perak, Negeri Sembilan serta Sarawak.

Katanya, wanita itu berusia 47 tahun, manakala 2 lagi lelaki berumur 54 dan 90 tahun dengan semuanya mempunyai rekod penyakit kronik seperti kencing manis, buah pinggang, jantung serta darah tinggi.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan turut mengenal pasti beberapa subkluster daripada kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Berikut maklumat terkini subkluster itu:

1. Subkluster madrasah di Jerantut, Pahang

Jumlah disaring seramai 401 orang, membabitkan 297 pelajar dan 104 kakitangan serta ahli keluarga kakitangan.
62 kes positif yang dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
20 kes sembuh.
2. Subkluster madrasah di Penanti, Pulau Pinang

Jumlah disaring seramai 291 orang, iaitu 256 pelajar dan baki 35 kakitangan.
6 kes positif, di mana 2 kes masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
4 kes sembuh.
3. Subkluster madrasah di Sungai Lui, Selangor

Jumlah disaring seramai 282 orang, iaitu 274 pelajar dan 8 kakitangan.
90 kes positif yang dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kusta Negara.
67 kes sembuh.
4. Subkluster madrasah di Jasin, Melaka

Jumlah disaring seramai 137 orang, iaitu 122 pelajar dan 15 kakitangan.
37 kes positif yang dimasukkan ke Hospital Melaka.
1 kes sembuh.
Hisham menasihatkan rakyat tidak menyalahkan atau mendiskriminasi pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka.”

Beliau menegaskan 2 minggu akan datang amat penting dan kerjasama semua pihak sangat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker