Polis terima laporan anggota ATM dibaling sampah di Selangor Mansion

Polis mengesahkan menerima satu laporan anggota tentera dibaling objek seperti botol, bungkusan sampah dan pasu bunga oleh penghuni di Selangor Mansion.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim bagaimanapun berkata tiada sebarang laporan berkenaan kejadian anggota tentera dibaling dengan air kencing warga asing seperti mana yang dilaporkan sebelum ini.

“Berkenaan kejadian yang berlaku pada 8 April lalu melibatkan anggota ATM yang sedang bertugas untuk pemasangan ‘concertina wire’.

“Laporan Polis dibuat oleh pengadu kerana anggotanya memaklumkan tentang perbuatan segelintir penghuni Selangor Mansion,” katanya dalam satu kenyataan.

Mazlan berkata tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan keadaan keselamatan di kawasan tersebut terkawal.

Katanya, pemakaian helmet oleh anggota ATM adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ATM.

“Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu cuba mendatangkan cedera kepada penjawat awam dengan membaling botol dan pasu bunga.

“Rakaman percakapan pengadu telah pun dilakukan dan siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak Polis Kuala Lumpur,” katanya.

Mazlan berkata tindakan tegas dan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana penghuni yang didapati terlibat dalam kes yang dilaporkan tersebut.

Katanya, Polis Kuala Lumpur amat mengharapkan kerjasama semua pihak supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan demi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sebelum itu, ATM menafikan dakwaan tersebar di media sosial di mana anggotanya bertugas di bangunan Selangor Mansion, memakai topi keledar untuk mengelakkan air kencing warga asing.

Panglima ATM, Jeneral Affendi Buang dipetik Bernama berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk anggotanya berbuat demikian.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan warga asing di 3 bangunan kediaman di ibu negara yang dikenakan PKPD didakwa melempar barangan dari tingkat atas bangunan, termasuk beg plastik berisi air kencing sebagai tanda protes.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, sikap biadab penghuni disyaki warga asing itu ketara sejak peringkat awal PKPD dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan perintah terbabit dan mungkin masalah bekalan makanan.
FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker