Kerajaan minta KKM kaji kesan hantar balik 80,000 pelajar ‘terperangkap’ di kampus

Share

Kerajaan meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengkaji kesan langkah menghantar pulang 80,000 pelajar yang kini terperangkap di kampus universiti masing-masing berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana ia melibatkan pergerakan manusia yang sangat besar jumlahnya.

“Jadi telah dibentang cadangannya, tetapi oleh kerana jumlah begitu besar, ada sebahagian yang pulang Sabah dan Sarawak akan dikuarantin wajib di sana dan sebagainya.

“Kita minta supaya KKM melihat perkara ini dari segi kesan kesihatan bukan sahaja pelajar terbabit, tetapi kepada penduduk di kawasan yang mereka akan pulang nanti,” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkata, ia akan meneliti kaedah terbaik untuk menghantar pulang pelajar yang masih berada di kampus ke rumah masing-masing susulan pengumuman lanjutan tempoh PKP.

Menterinya, Noraini Ahmad berkata, KPT kini meneruskan perbincangan dengan pihak terbabit dan sedang meneliti kaedah terbaik untuk tujuan itu.

Kerajaaan mengumumkan PKP dilanjutkan 14 hari lagi hingga 28 April bagi memerangi Covid-19 sepenuhnya selepas negara melalui 2 fasa PKP sebelum ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, beliau ada menerima cadangan daripada KPT untuk menghantar balik pelajar yang terperangkap dalam mesyuarat menteri pagi tadi.

Beliau berkata, jumlah pelajar terperangkap di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) adalah seramai 80,000 orang di seluruh negara.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk pelajar yang tinggal di luar kampus, iaitu yang menyewa rumah dan mempunyai keinginan untuk pulang ke rumah ibu bapa masing-masing.

“Jadi kita minta KKM mengkaji perkara ini. Seperti kita sedia maklum, KKM melihat sudah berlaku sedikit penurunan jumlah positif Covid-19.

“KKM tidak mahu perkara seperti ini menjejaskan usaha mereka dan akhirnya jumlah (jangkitan) kembali tinggi serta gagalkan usaha kita selama ini. Jika perkara ini tidak diteliti lebih halus, kita mungkin kena berada di rumah lebih lama,” katanya.

Ismail berkata, kerajaan mahu PKP ini ditamatkan mengikut perancangan yang ditetapkan oleh KKM.

Operasi kedai gunting rambut

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan meniliti semula pandangan semua pihak berkenaan langkah kerajaan membenarkan kedai gunting dan salon rambut memulakan semula perkhidmatan mereka dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Betul, semalam macam-macam berita keluar di sosial media bincang perkara sama.

“Saya percaya dan juga dimaklumkan bahawa MITI akan meneliti semua pandangan rakyat dan akan perhalusi perkara ini,” katanya.

Semalam kerajaan mengumumkan beberapa perkhidmatan, termasuk salon rambut, dibenarkan beroperasi semasa pelaksanaan PKP yang kini dilanjutkan sehingga 28 April.

Bagi salon dan kedai gunting, hanya kegiatan menggunting rambut dibenarkan.

Kerajan bagaimanapun berkata, syarikat yang dibenarkan beroperasi dikehendaki mematuhi peraturan sedia ada, termasuk yang ditetapkan oleh KKM dan agensi penguatkuasaan.

Waktu operasi kedai makan

Ismail juga berkata, kerajaan tidak ada cadangan untuk melihat balik waktu operasi kedai makan yang telah ditetapkan, iaitu dari jam 8 pagi sehingga 8 malam.

“Kita akan tengok keperluan. Rakyat masih boleh beli makan dan tak ada aduan lagi,” katanya.

1,095 ingkar PKP

Ismail memaklumkan polis menahan 1,095 individu kerana ingkar PKP dengan 815 dikenakan kompaun RM1,000.

Katanya, 242 individu direman dan 38 individu diberikan jaminan polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 10 April 2020 adalah sebanyak 7,759 individu.

“Seramai 373 dituduh di mahkamah kerana ingkar PKP,” katanya.

Beliau berkata, berkata susulan lanjutan PKP, polis akan bertindak lebih tegas dan tidak akan berkompromi dengan individu yang masih ingkar dan degil.

Katanya, mereka yang ingkar PKP kali ini akan ditangkap dan dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 24 (342) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Bagi kesalahan pertama, ia boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kesalahan kedua, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ismail berkata, dalam tempoh pelaksanaan PKP, sesiapa yang gagal memberi kerjasama kepada petugas kerajaan, termasuk anggota KKM seperti doktor atau jururawat akan didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara maksimum 2 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Operasi sanitasi awam Covid-19

Ismail berkata, operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sejak 30 Mac telah melakukan 1,291 operasi sanitasi di 85 zon, termasuk di 24 zon merah dan 61 zon kuning.

Beliau berkata, kawasan yang disanitasi, termasuklah 884 bangunan kerajaan, 565 tempat awam, 528 pusat perniagaan dan 107 pasar raya.

“Semalam, sebanyak 166 operasi sanitasi meliputi 60 zon di 12 negeri, termasuk 46 kawasan di Johor dan 26 kawasan di Pahang.

” Sebanyak 3 PPR telah dinyah cemar menjadikan jumlah keseluruhan 37 PPR telah selasai disanitasi melibatkan 36,870 unit rumah,” katanya.

Pengurusan pusat kuarantin

Ismail berkata, setakat 9 April, sebanyak 156 pusat kuarantin Covid-19 telah beroperasi berbanding 146 pada hari sebelumnya, melibatkan 11,445 individu yang sedang menjalani tempoh kuarantin wajib.

Beliau berkata, sejak semalam, seramai 386 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dan dikenakan arahan kuarantin wajib.

Peranan media

Katanya, media, terutama portal berita dalam talian, dinasihatkan supaya melaporkan berita yang tepat dan sahih, terutama yang melibatkan kenyataan rasmi kerajaan.

Beliau berkata, media tidak sepatutnya melaporkan berita mengelirukan yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.

“Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan sentiasa memantau kandungan berita dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas,” katanya.

FMT

Leave a Reply