500 penduduk Kg Lebai Saman di Kedah hidup susah, tiada makanan susulan PKP

Mohd Amin Yaakob (kiri) memberi bantuan keperluan harian kepada seorang penduduk

500 penduduk di Kampung Lebai Saman di Kuala Nerang, Kedah didakwa menghadapi kesukaran untuk meneruskan kehidupan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menyekat penyebaran wabak Covid-19.

Seorang penduduk Mohd Amin Yaakob berkata, beliau yang pulang ke kampung melihat rata-rata penduduk berdepan keadaan yang cukup getir, termasuk tiada punca pendapatan kerana 90% daripada mereka bekerja sebagai penoreh getah dan menerima gaji harian.

Lebih menyedihkan katanya, penduduk kampung susah mendapat makanan.

Katanya, keadaan menjadi lebih buruk apabila anak yang bekerja bagi membantu ibu bapa mereka tidak dapat bekerja ketika PKP.

“Anak kerja bawa lori petani pun tak boleh gerak. Jadi mereka semua duduk di rumah. Anak-anak ramai, ada yang balik dari universiti dan duduk rumah jadi tiada pendapatan langsung untuk makan.

“Di sebabkan masa PKP ini pergerakan terhad. Tak boleh keluar jauh. Ramai penduduk yang hanya makan gaji hari. Contohnya hari ini tak keluar menoreh, tak ada gaji.

“Ada setengah daripada mereka walaupun kebun berdekatan dengan rumah, tetapi dengan sekarang harga getah turun merundum ke RM1.50 daripada RM3 dan cuaca juga hujan. Pendapatan tiada,” katanya kepada FMT.

Amin yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Seksyen 13 Shah Alam berkata, lebih menyedihkan penduduk juga tidak dapat menuai padi kerana negeri Kedah mengalami kemarau selama lebih 5 bulan.

“Bulan lepas sepatutnya musim menuai padi. Ini sekurang-kurangnya dapat tambah pendapatan mereka.

“Tetapi sebab Kedah menghadapi kemarau 5 bulan lebih jadi hasil padi tak dapat langsung. Memang tak boleh menuai,” katanya.

Amin berkata, walaupun kedai runcit di kampung itu boleh operasi tetapi tiada orang yang datang membeli.

“Ini disebabkan penduduk tidak ada duit,” katanya.

Amin berkata, beliau mewar-warkan keadaan yang berlau di kampung itu kerana sumbangan daripada pihak atasan, teramsuk ahli politik tidak sampai kepada penduduk.

“Memang ada sumbangan atasan, dengar orang politik nak bantu, tetapi tak sampai,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan PKP dilanjutkan selama 14 hari lagi hingga 28 Apr bagi meneruskan usaha memerangi Covid-19 sepenuhnya selepas negara melalui 2 fasa tempoh sekatan bermula 18 Mac.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, PKP menunjukkan kesan positif dalam mengawal penyebaran koronavirus, namun ia diteruskan ke fasa ke-3 atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengelakkan insiden penularan semula wabak tersebut seperti berlaku di beberapa negara lain.

Amin berkata, sejak PKP bermula, beliau memberi sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk kampung itu.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini beliau hanya dapat memberi bantuan yang sedikit berikutan dana yang terhad.

Amin berkata, beliau hanya dapat menyediakan keperluan harian seperti beras, gula, minyak masak dan kopi bernilai RM20 satu keluarga.

“Kampung saya ada 500 orang, setakat ini saya hanya mampu memberi bantuan untuk 100 orang sahaja.

“Jadi melalui kesempatan ini, saya memohon sumbangan daripada orang ramai untuk disalurkan kepada penduduk,” katanya.

Amin berkata, sumbangan juga diperolehi melalui keluarga beliau dan rakan yang mengenalinya.

“Saya cuba dapatkan, tetapi tak banyak. Kebetulan saya balik kampung, jadi saya cuba berkhidmat di sini,” katanya.

Amin berkata, beliau juga mempunyai NGO sendiri, dan jika menerima sumbangan orang ramai, beliau akan cuba gerakkan lebih ramai orang untuk membantu penduduk kampung.

“Harapan saya nak memohon orang ramai membantu saya dengan salurkan sumbangan barangan keperluan harian kepada mereka. Kita tahu hari ini kerajaan umum PKP dilanjutkan.

“Fasa 3 ini saya lihat lebih perit sebab berhadapan bulan Ramadan. Jadi semua dana yang dapat saya akan salurkan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Sayang Care Padang Terap di akaun Agrobank (No:1005061000040029) atau menghubunginya di talian 013-531-0916

FMT

PM terima derma dari 4 syarikat untuk Tabung Covid-19.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker