Fahami masalah sebenar PKS, pakar ekonomi beritahu Putrajaya

Seorang ahli ekonomi kanan mencadangkan supaya kerajaan menempatkan pegawai di perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memahami masalah yang mereka hadapi berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Ramon Navaratnam berkata, walaupun kerajaan membuat rundingan dengan bos industri dan pemimpin lain dalam merangka pakej rangsangan untuk PKS bernilai RM10 bilion, namun keperluan dan pandangan di peringkat akar umbi mungkin berbeza.

“Pemimpin dan bos industri biasanya akan menjaga kepentingan mereka sendiri. Tetapi bagaimana pula dengan majikan kecil seperti pemilik PKS? Siapakah yang mendengar suara mereka?”

Beliau berkata, sekiranya pegawai kerajaan meluangkan masa beberapa hari dengan pemilik perniagaan kecil, maka mereka mungkin akan dapat memahami keadaan dengan lebih baik.

“Bila anda ditempatkan bersama-sama mereka, anda akan dapat memahami keadaan dengan lebih baik dan benar-benar dapat merasai masalah yang dihadapi.

“Jika tidak, biar apapun pakej rangsangan yang dibuat, orang ramai akan terus tidak berpuas hati,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan tambahan bernilai RM10 bilion untuk PKS, termasuk penambahan subsidi gaji daripada RM5.9 bilion yang diumumkan sebelum ini, kepada RM13.8 bilion.

Langkah lain yang diumumkan termasuklah geran khas RM3,000 kepada PKS mikro berjumlah RM2.1 bilion, penangguhan bayaran faedah skim kredit-mikro Bank Simpanan Nasional dan kemudahan pinjaman sehingga RM10,000 di bawah Skim Pinjaman Mudah berjumlah RM200 juta.

Beberapa kumpulan PKS menyuarakan kebimbangan berhubung pakej rangsangan itu, termasuk kemungkinan ia tidak sampai kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM5,000 dan tidak berdaftar sebagai pembayar cukai.

Navaratnam juga mengingatkan kerajaan supaya menyediakan formula yang mampan bagi mengimbangi perbelanjaannya.

“Jika defisit belanjawan kerajaan meningkat dan perlu ditampung melalui pinjaman, maka ini akan mendedahkan kita kepada penurunan kedudukan oleh agensi penarafan.

“Jika ini berlaku, pelaburan akan berkurang dan ekonomi akan menanggung akibatnya. Kesannya sudah tentu akan dirasai oleh PKS.

“Jika ekonomi kita tidak boleh dipertahankan, maka apakah gunanya? Kerajaan perlu mempunyai kemampuan pembiayaan dalam jangka panjang.”

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker