COVID-19: 69,675 sedang menanti pengesahan ujian

Share


Kementerian Kesihatan mendedahkan sebanyak 69,675 kes lagi sedang menanti keputusan ujian saringan COVID-19, sama ada positif atau sebaliknya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebarang keputusan ujian saringan sepatutnya diperoleh dalam tempoh 24 jam, sebelum ia dimaklumkan menerusi sidang media harian.

Bagaimanapun, katanya, sesetengah keputusan ujian terhadap pesakit yang disyaki dijangkiti COVID-19 tertangguh, sekali gus menyebabkan kelewatan laporan harian.

“Sebelum ini KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) keluarkan statistik mengenai kes ujian yang masih menunggu pengesahan, tetapi kita dapati ia mengelirukan kerana wujud penangguhan.

“Mana-mana data yang sempat diproses dan mendapat pengesahan akan dilaporkan dalam sidang media harian, tetapi selebihnya masih menunggu keputusan lanjut.

“Oleh itu, kita tidak lagi menyiarkan keputusan ujian yang masih menunggu pengesahan bagi mengelak kekeliruan, tetapi saya boleh maklumkan bahawa setakat ini ada 69,675 kes belum mendapat pengesahan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Dr Noor Hisham memaklumkan peratusan kes kematian pesakit COVID-19 di negara ini jauh lebih rendah iaitu sekitar 1.58 peratus berbanding negara lain.

Beliau berkata, peratusan purata negara lain bagi kes kematian membabitkan pesakit COVID-19 ialah sekitar 4.6 peratus atau 5.6 peratus.

“Negara kita kadar kematian adalah rendah (dan ini) menunjukkan perkhidmatan perubatan yang diberikan kepada pesakit terutamanya yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di tahap baik dan memuaskan.

“Pakar bius kita juga dapat merawat pesakit dengan baik yang secara tidak langsung dapat memberi rawatan yang mantap. (Dan ini) dapat memberi kesan kepada semua pesakit di wad dan ICU.

“Apabila lihat sekarang 88 peratus daripada pesakit COVID-19 yang positif di negara ini mempunyai gejala ringan dan tiada gejala.

“Lapan hingga 10 hari masa diambil untuk ujian saringan dan mereka mestilah negatif lebih 24 jam sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Berita Harian

(Visited 7 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *