143 pelajar, 5 guru tahfiz dikuarantin di Perak

Share


Sebanyak 143 pelajar dan 5 guru sebuah maahad tahfiz dikuarantin di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan sejak Isnin dan semalam.

Jabatan Kesihatan Perak dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini berkata semua mereka merupakan kontak rapat 1 kes jemaah tabligh yang dikesan positif Covid-19 pada Isnin lepas.

“Semua pelajar dan guru ini sedang menjalani proses isolasi selama 14 hari di stesen kuarantin.

“Mereka berada dalam keadaan sihat dan bukanlah kes Covid-19 yang positif,” menurut kenyataan itu.

Sejak semalam, tular laporan dan gambar pelajar yang didakwa dari sebuah maahad tahfiz di daerah Perak Tengah dibawa ke hospital berkaitan kes Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Jabatan Kesihatan Perak turut menyediakan perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Hospital Batu Gajah, Hospital Changkat Melintang, Hospital Gerik, Hospital Kuala Kangsar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) serta Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi bersebelahan HRPB.

Perkhidmatan itu turut disediakan di Hospital Selama, Hospital Seri Manjung, Hospital Slim River, Hospital Sungai Siput, Hospital Taiping, Hospital Teluk Intan, Klinik Kesihatan (KK) Bagan Serai, KK Greentown Ipoh, KK Taiping dan KK Tanjung Tualang.

“Ia bagi memudahkan para pesakit mengambil bekalan ubat dengan cepat selain mengamalkan penjarakkan sosial yang selamat,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, selain perkhidmatan Farmasi Pandu Lalu, pihaknya menyediakan Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP), Sistem Pendispensan Ubat-ubatan Bersepadu (SPUB), Sistem Temujanji Farmasi dan Locker4u.

“Kesesuaian jenis perkhidmatan adalah tertakluk kepada jenis ubat dan ketersediaan perkhidmatan di fasiliti masing-masing,” katanya.

Bernama

(Visited 4 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *