Syarat LHDN ketepikan banyak IKS Bumiputera, kata NGO

Share

Badan bukan kerajaan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia berkata syarat menetapkan syarikat industri kecil dan sederhana perlu berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk layak terima bantuan kerajaan akan menyebabkan banyak perniagaan Bumiputera diketepikan.

Presiden Mohd Azmi Abdul Hamid berkata banyak IKS Bumiputera belum berdaftar dengan LHDN kerana berpendapatan bawah RM5,000 sebulan, termasuk ribuan syarikat bawah pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri.

Kumpulannya khuatir pakej rangsangan RM10 bilion kerajaan untuk IKS tidak akan memberi manfaat kepada majoriti IKS Bumiputera dengan pelbagai produk halal.

“Mereka ini akan menanggung kerugian besar kerana tidak dibenarkan beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan tetapi tiada bantuan khas kepada mereka,” katanya dalam kenyataan.

Mapim berkata semua usahawan IKS Bumiputera bawah kementerian dan agensi kerajaan perlu dibantu insentif minimum RM3,000 sebulan, bukan hanya IKS yang berdaftar dengan LHDN.

“Kami menggesa kerajaan jangan meminggirkan usahawan IKS Bumiputera yang berpotensi untuk maju dengan produk yang berkualiti,” katanya.

Mapim berkata kerajaan perlu mengiktiraf pengusaha IKS Bumiputera yang berdaftar dengan mana-mana kementerian dan agensinya supaya layak mendapat bantuan daripada pakej rangsangan IKS.

Kerajaan juga perlu mengecualikan syarat berdaftar dengan LHDN buat sementara, dan pelbagai agensi yang menyelia usahawan IKS Bumiputera perlu mewujudkan bantuan khas masing-masing.

“Kerajaan perlu mewujudkan skim membantu IKS Bumiputera untuk dipermudahkan mereka mendapatkan sijil halal dan kelayakan memperolehi bantuan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),” tambahnya.

FMT

Leave a Reply