RM22.66 Juta Diterima Bagi Tabung Covid-19 Setakat Semalam – Ismail Sabri

Share


Sejumlah RM22.66 juta sumbangan wang tunai diterima melalui Tabung COVID-19 setakat semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau, yang juga Menteri Pertahanan, berkata daripada jumlah itu, RM5.68 juta telah disalur kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi fasa pertama pembelian bantuan keperluan harian kepada mereka yang terjejas, terutama bagi mereka di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Bagi fasa kedua, RM9.06 juta diperuntukkan, yang akan disalur ke Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan YKN untuk tingkat kemampuan pengagihan bantuan ini,” katanya pada sidang media hariannya di sini, hari ini.

Selain tabung rasmi COVID-19 yang diwujudkan kerajaan, Ismail Sabri berkata terdapat juga tabung lain yang diwujudkan atas inisiatif dan keprihatinan rakyat Malaysia bagi membantu golongan memerlukan.

Justeru, katanya kerajaan mencadangkan supaya setiap tabung berkenaan didaftarkan dengan Kementerian Kewangan bagi membolehkan penyumbang diberikan insentif pengecualian cukai.

“Ramai rakyat Malaysia yang prihatin kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuk memberikan sumbangan penutup mulut dan hidung, PPE (peralatan perlindungan diri) dan berbagai lagi… oleh itu banyak tabung yang telah diwujudkan.

“Kita harap mereka daftar dan laporkan kepada Kementerian Kewangan supaya pengecualian cukai dapat mereka nikmati,” katanya.

Ismail Sabri turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas inisiatif mewujudkan tabung-tabung berkenaan.- BERNAMA

(Visited 1 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *