Selangor Mansion, Malayan Mansion di KL dikenakan PKPD

Bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selepas 15 kes positif Covid-19 dikesan.

Ini adalah kawasan ke-4 yang dikenakan PKPD selepas Simpang Renggam, Sungai Lui di Hulu Langat dan Menara City One.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD kali ini membabitkan 5,000 hingga 6,000 penghuni di 365 unit kediaman serta premis perniagaan di 2 bangunan terbabit.

“Perintah ini akan berkuat kuasa mulai 7 April sehingga pengesanan ini (dijalankan ke atas semua penghuni) tamat.

“Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh ini berkuat kuasa,” kata dalam kenyataan hari ini.

Semua penduduk dilarang meninggalkan 2 bangunan itu sepanjang pelaksanaan PKPD, manakala pelawat pula tidak dibenarkan masuk.

Semua aktiviti perniagaan di bangunan itu turut dihentikan, kecuali premis menjual barang keperluan.

Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang akan dihantar dan diambil di tempat ditetapkan.

Pangkalan perubatan akan dibuka dalam kawasan PKPD, manakala anggota polis, tentera, Angkatan Pertahanan Awam, Rela dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengawal kawasan terbabit.

Ismail Sabri meminta semua penghuni bertenang dan
memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas KKM serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Katanya, penghuni yang memerlukan bantuan atau sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan PKP DBKL 03-4026 7222 atau 016-2962982.

Setakat semalam, 62 kematian dan 3,793 kes positif Covid-19 direkodkan di seluruh negara.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker