Bertindak segera tangani ‘virus’ murtad

TINDAKAN murtad tidak seharusnya dipandang sebagai isu peribadi dan konflik kepercayaan, sebaliknya termasuk dalam isu keselamatan yang harus dipertanggunjawabkan oleh kerajaan.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, apabila ia disenaraikan atas dasar hak individu dan prinsip kebebasan beragama maka secara tidak langsung akan menjejaskan usaha menanganinya.

Menurutnya, masyarakat perlu bertanggungjawab menangani isu murtad secara kolektif walaupun ketika berlaku pelbagai isu seperti wabak Covid-19, sengketa politik, kemelesetan ekonomi dan sebagainya.

Katanya, kecemburuan masyarakat terhadap sesuatu yang merosakkan nilai agama dan dan kepercayaan perlu didahulukan tanpa menunggu lebih ramai murtad untuk bertindak.

“Kita bukan sekadar menghadapi krisis keruntuhan akhlak, konflik politik, perpecahan umat, kecuaian ibadah, kelemahan meninggikan syiar Islam dan pembudayaan songsang.

“Sebaliknya kekhuatiran utama yang perlu disedari (umat Islam) adalah membabitkan permasalahan iman dan kufur.

“Sedarkah kita bahawa jika murtad hanya sekadar konflik kepercayaan peribadi, mengapa begitu agresif Saidina Abu Bakar RA memerangi golongan ini sewaktu pemerintahan beliau yang tidak lain menunjukkan betapa seriusnya kesalahan murtad,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan penularan klip video di media sosial mengenai pengakuan murtad seorang lelaki dipercayai berbangsa Melayu yang mengisytiharkan dirinya sebagai penganut Kristian berstatus Pastor.

Mengulas mengenai video terbabit, Harussani berkata, individu berkenaan gagal memahami Islam daripada sumber yang benar selain silauan mengenai kepercayaan anutan lain yang diambil tanpa ilmu dan kefahaman yang betul.

Menurutnya, pengisytiharan lelaki itu adalah suatu pernyataan berbentuk ikhtiari, malah dia menyedari kesan dan akibat daripada perbuatannya.

“Saya menggesa masyarakat berhenti menyebarkan klip video berkenaan kerana ianya secara tidak langsung mempromosikan individu di dalam video itu,” katanya.

Katanya, masyarakat termasuk kerajaan dan pihak berkuasa harus sedar bahawa memelihara agama berada di carta terpenting berbanding maqasid syariah yang lain.

“Perlu diingat bahawa ‘virus’ murtad ini terlalu bahaya yang tidak mungkin diletakkan (sekadar) sebagai isu peribadi dan konflik kepercayaan semata-mata di mana kecuaian serta sikap sambil lewa terhadapnya menyebabkan kelemahan dan kemunduran Islam di masa depan,” katanya.

HM

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker