Subsidi upah ‘hampir seganda’, PM bakal umum bantuan RM10 bilion untuk PKS · MYKMU.NET

Subsidi upah ‘hampir seganda’, PM bakal umum bantuan RM10 bilion untuk PKS

Share

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini akan mengumumkan bantuan RM10 bilion bagi membantu pekerja di perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan penutupan perniagaan bawah perintah kawalan pergerakan.

Perkembangan ini tambahan kepada pelan penyelamat RM250 bilion menghadapi Covid-19, atau Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, yang diumumkan bulan lepas.

Sumber yang dekat dengan pihak yang terlibat dalam penyediaan rancangan terbaru itu berkata ia mungkin menyaksikan subsidi upah sebanyak RM600 untuk pekerja PKS digandakan.

Pada 27 Mac, Muhyiddin mengumumkan bantuan wang tunai serta subdidi upah, moratorium ke atas pinjaman bank dan penangguhan serahan cukai pendapatan yang menelan kos berbilion ringgit.

Pelan penyelamat sebelum itu juga memperuntukkan RM3 bilion bawah Tabung Kemudahan Khas untuk PKS dengan kadar faedah yang dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.

Meskipun langkah-langkah itu memenuhi matlamat utama kerajaan iaitu memastikan makanan untuk jutaan rakyat yang hilang mata pencarian kerana PKP, terdapat kebimbangan ia tidak cukup untuk menangani kesan pelan pembendungan virus ke atas perniagaan.

FMT difahamkan RM600 untuk majikan, bagi membolehkan mereka membayar setiap seorang pekerja berpendapatan RM4,000 ke bawah selama 3 bulan, akan dinaikkan “hampir sekali ganda” bawah pelan terbaru itu.

PKS mewakili kira-kira 98.5% perniagaan dengan sekitar 6 juta pekerja, menyumbang lebih 1/3 daripada KDNK.

Juga difahamkan Putrajaya akan meringankan sekatan ke atas lebih banyak kategori PKS bagi membolehkan mereka beroperasi semasa PKP.

Tetapi sumber berkata langkah itu akan melibatkan pelan logistik yang sangat besar bagi menghalang penyebaran Covid-19, di sebalik laporan menyatakan puluhan ribu individu yang mungkin dijangkiti sudah dikenalpasti pihak berkuasa kesihatan.

“Ini bermakna mengehadkan pergerakan orang berkenaan walaupun mereka sebahagian daripada PKS,” kata sumber itu.

Kementerian Kesihatan dilaporkan mempunyai data 40,000 orang yang mungkin membawa virus itu, termasuk mereka yang ada kontak rapat dengan lebih 3,000 yang sedang dirawat.

FMT

Leave a Reply