Malaysia sertai ‘Kaji Selidik Solidariti’ uji ubat Covid

Malaysia akan menyertai “Kaji Selidik Solidariti” yang dilancarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat bagi merawat Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kaji selidik itu, yang diselaraskan oleh WHO di seluruh dunia, merupakan usaha julung kali bagi mengumpul data boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi ubat Remdesivir, Lopinavir / Ritonavir, Interferon beta, Chloroquine dan Hydroxychloroquine.

“Penyertaan Malaysia dalam kaji selidik sedunia ini dapat membantu dalam pencarian ubat bagi menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 melalui penilaian keselamatan dan keberkesanannya.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyegerakan proses pelaksanaan kaji selidik ubat untuk merawat pesakit Covid-19, yang akan bermula tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sembilan hospital akan terlibat dalam usaha tersebut iaitu Hospital Tuanku Fauziah (Perlis), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah), Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan (Pahang), Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth (Sabah).

Kaji selidik itu akan diketuai oleh Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang Dr Chow Ting Soo bersama-sama pasukan yang terdiri daripada 16 pakar perubatan penyakit berjangkit dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital-hospital KKM masing-masing.

Dr Noor Hisham berkata Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM dan Clinical Research Malaysia (CRM) akan membantu memudahkan pelaksanaan inisiatif kaji selidik WHO di Malaysia.

“Kaji selidik tersebut akan mematuhi semua piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Sementara itu, Ketua Misi dan Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura Dr Ying-Ru Lo berkata pandemik global itu telah menjejaskan lebih 180 negara dan kaji selidik satu daripada ubat-ubatan berkenaan menjadi harapan terbaik untuk merawat orang yang dijangkiti Covid-19.

“Inilah peluang kita, sebagai sebuah komuniti global, untuk menentang gelombang pandemik ini. Malaysia akan menjadi rakan kongsi yang penting dalam kaji selidik ini untuk menilai rawatan yang berpotensi yang lebih berkesan, dan menyelamatkan nyawa dalam pertempuran global untuk melawan virus ini,” kata beliau dalam kenyataan sama.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker