Berita Fitnah: KDN Digesa Ambil Tindakan Terhadap Malaysiakini

Naib Ketua Pemuda UMNO negeri Selangor Amin Mohd Shukor membidas portal Malaysiakini yang menyiarkan berita palsu (artikel berkaitan telah dipadam) dikala negara sedang tertekan memerangi pandemik COVID-19.

Justeru beliau mendesak agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap portal berkenaan mandangkan ini bukan kali pertama portal terbabit menyiarkan berita fitnah.

“Dalam keadaan kerajaan dan rakyat sedang berusaha keras memerangi gejala fitnah yang semakin berleluasa, terang-terangan masih ada lagi entiti yang sengaja bertindak menghuru-harakan keadaan dan mensensasikan sesuatu yang tidak tepat.

“Semalam Malaysiakini melaporkan sesuatu yang sensasi tanpa usul periksa. Maklumbalas dari pihak UPSI juga amat berbeza, dan dari segi moral dan kesan akibatnya amat memudaratkan keharmonian Malaysia.

“Persoalan saya, kenapa sehingga kini KDN masih tidak berani mengambil tindakan kepada pihak Malaysiakini yang kita tahu inilah antara agen dan medium pemecah-belah keharmonian Malaysia,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin, apa yang dilakukan oleh Malaysiakini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

“Jika ingin dikatakan ini berkenaan kebebasan berkarya dan bersuara… maaf, kebebasan bukan bermakna tiada batasan dan boleh menyebarkan fitnah.

“KDN harus lebih bertegas agar ini akan menjadi pengajaran kepada pihak lain. Bebas bukan bermaksud tiada undang-undang yang harus dipatuhi,” tegas beliau.

Sementara itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, menafikan dakwaan yang tular kononnya sekumpulan pelajar UPSI mengadakan persembahan sewaktu lawatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad ke universiti itu.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pada peringkat awal pihaknya ada merancang persembahan daripada pelajar, namun ia dibatalkan atas nasihat Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Maka hanya empat orang sahaja terdiri daripada kalangan pengurusan tertinggi dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar bertemu Noraini di Pusat Pelajar, UPSI, selain empat pegawai KPT turut mengiringi lawatan tersebut.

“Tidak berlaku sebarang persembahan seperti yang ditularkan bahawa lebih 20 pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan hadir pada satu majlis,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook UPSI.

Justeru, Mohammad Shatar berkata Presiden Persatuan Akademik UPSI, Prof Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah dan Presiden Kesatuan Pegawai Am UPSI, Saiful Lizan Mohd Lajis telah membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan tersebut. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker