KKM kaji plasma darah bekas pesakit Covid-19 yang pulih

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat kajian pada plasma darah yang diperoleh daripada bekas pesakit Covid-19 yang kini pulih untuk melihat sama ada ia boleh digunakan untuk merawat pesakit lain.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengucapkan terima kasih kepada beberapa pesakit yang tampil menderma darah mereka untuk penyelidikan perubatan.

“Kami mengkaji plasma darah mereka.

“Jika mereka mempunyai jumlah antibodi yang tinggi, ada kemungkinan yang besar untuk kita menggunakan plasma mereka untuk merawat pesakit lain,” katanya semasa sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham menjelaskan bahawa penderma darah akan disaring untuk jangkitan lain sebelum sampel mereka digunakan.

Katanya, penyelidikan sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) kementerian.

Sementara itu, Noor Hisham juga memaklumkan bahawa kementerian sedang mencari kit ujian antigen Covid-19 yang lebih tepat selepas mendapati kit dari China dan Korea Selatan tidak begitu tepat.

Beliau berkata kedua-dua alat yang diterima sebelum ini tidak dapat dipercayai dengan kadar ketepatan di bawah 56 peratus.

Jelasnya, kebimbangan dengan kit tseumpamanya adalah kemungkinan keputusan yang tidak betul.

“Kami yakin bahawa minggu depan kami akan mempunyai kit ujian lain yang datang dari Korea (Selatan).

“Jadi kita sedang tunggu, mereka janji kit itu 80 peratus lebih tepat,” katnya.

Noor Hisham sebelum ini mendedahkan bahawa Malaysia menyasarkan untuk mempunyai keupayaan membuat ujian Covid-19 sebanyak 16,500 sehari

Ia selepas ujian secara besar-besaran terbukti berkesan dalam memerangi virus itu di Korea Selatan.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker