COVID-19: KLUSTER ITALI

Oleh Ab Jalil Backer

Sebentar tadi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah menyatakan Kementerian Kesihatan mengesan kluster baharu wabak COVID-19 di Sarawak, yang berpunca daripada rakyat Malaysia yang melancong ke Itali, yang setakat ini meragut nyawa lima mangsa.

Menurut beliau kluster Itali berpunca daripada pesakit ke-1,580 itu, dikesan menjangkiti 37 kes lain termasuk lima kematian iaitu kes ke-1,031; ke-1,032; ke-1,006; ke-2,850 dan ke-2,210 serta seorang pesakit memerlukan bantuan pernafasan dalam unit rawatan rapi (ICU).

Apa yang didedah ini tidak begitu jelas dan menimbulkan kemarahan umum tanpa hala tuju.

Ada yang marah kepada keluarga mangsa dan ada yang marah kepada rakyat Malaysia yang ke luar negara.

Persoalan utama ialah bila individu ini pulang dari luar negara tidak dijelaskan.

Tarikh beliau pulang dari Itali adalah isu utama kerana dari situ kita boleh mengetahui di mana kelemahan kita dan memperbaikinya.

Jika beliau pulang selepas PKP diisytiharkan maka kita perlu mempersoalkan keseriusan pihak yang mengurus pintu masuk kita dalam menangani Covid-19.

Mengapa pihak imigresen yang menerima kemasukan beliau, tidak membuat sebarang tindakan pro-aktif termasuk merujuk beliau kepada pihak berkuasa kesihatan. Ini kerana imigresen tentu menyedari rekod perjalanan beliau ke negara yang terkait dengan wabak ini secara serius.

Apa pun kita bersyukur kini kerajaan telah membuat keputusan mengkuarantin mereka yang pulang dari luar negara secara berpusat. Ini langkah tepat yang sepatutnya dilaksanakan dari awal lagi.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker