Covid-19 : 4 kematian, 179 kes baru hari ini

Malaysia merekodkan 179 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini kepada 3,662 kes, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan empat lagi pesakit baru yang meninggal dunia, menjadikan jumlah korban kepada 61.

Katanya, daripada 179 kes baru tersebut, 46 daripadanya mempunyai kaitan dengan perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur pada akhir Februari lalu.

Berikut merupakan empat pesakit yang meninggal dunia:

Kematian ke-58 (Pesakit 2,210)

Lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 (kes ke-1031).

Dia dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 1.37 tengah hari semalam.

Kematian ke-59 (Pesakit 3,484)

Lelaki warga Malaysia berumur 68 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

Dia dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 3.40 petang semalam.

Kematian ke-60 (Pesakit 3,703)

Lelaki warga Malaysia berumur 53 tahun.

Dia dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 31 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.39 pagi hari ini.

Kematian ke-61 (Pesakit 2,200)

Lelaki warga Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Dia dirawat di Hospital Keningau, Sabah pada 26 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 9.36 malam semalam.

Dalam pada itu, Noor Hisham memaklumkan bilangan pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal 99 orang.

Pesakit ICU yang memerlukan bantuan pernafasan pula menurun daripada 50 kepada 48 orang.

Sementara itu, seramai 90 pesakit sudah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

Ini menjadikan jumlah pesakit yang sembuh kepada 1,005 orang, atau 27.45 peratus daripada keseluruhan kes Covid-19.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker