Perlu dana RM7b, siapa sebenarnya pemaju Kg Baru? – Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata tiada dana atau peruntukan untuk membiayai pelan pembangunan mega Kampung Baru setakat ini.

“(Masalah) paling besar, siapa sebenarnya yang akan memajukan Kampung Baru?

“Kerana setakat ini, tak ada sebarang peruntukan, tak ada dana yang sangat besar yang diperlukan untuk membeli (tanah), kalau pun semua setuju (menjual tanah),” katanya dalam siaran langsung Faceboknya semalam.

Katanya, pembelian keseluruhan tanah di Kampung Baru akan menelan hampir RM7 bilion, sedangkan masih terdapat beberapa masalah agak besar yang tidak dikongsi sebelum ini kepada khalayak.

Hal itu termasuklah masih ada hampir 40 peratus pemilik atau pewaris tanah tidak bersetuju menjual tanah mereka yang menurut Annuar, satu jumlah yang besar.

“Kita tidak harus melakukan sesuatu yang tidak disenangi atau tak dipersetujui oleh pemilik tanah,” katanya lagi.

Annuar berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru semalam dan diberikan taklimat oleh pegawai eksekutif dan pegawai-pegawai terbabit berhubung perkara itu.

Pembangunan Kg Baru tidak mudah

Jelasnya, pembangunan Kampung Baru adalah satu hal yang “tidak mudah” baik dari segi perundangan mahupun perancangan fizikalnya.

Beliau yang pernah menghasilkan tesis berhubung pembangunan Kampung Baru, berkata masalah yang pernah dihadapi sejak 30 hingga 40 tahun lalu masih wujud di Kampung Baru sehingga ke hari ini.

“Bagaimanapun, satu perkara yang pasti, kita harus melakukan sesuatu yang sesuai untuk memastikan tuan-tuan tanah di Kampung Baru dan Kampung Baru itu sendiri mesti menikmati kemajuan pembangunan yang sejajar dengan pembangunan Kuala Lumpur,” katanya.

Annuar berkata beliau berhasrat membentuk satu jawatankuasa profesional terdiri daripada pakar, termasuklah daripada bidang pembangunan, perundangan, pembinaan dan sebagainya bagi mengkaji perkara tersebut.

Isu projek pembangunan Kampung Baru yang diperjuangkan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, sempat menjadi polemik tahun lalu apabila penduduk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap harga yang ditawarkan kerajaan untuk pembelian tanah.

Khalid pada November tahun lalu berkata projek pembangunan itu akan dimulakan pada Jun tahun ini, sekiranya persetujuan diperoleh daripada sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk.

Bulan lalu, Annuar meminta diberikan masa untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Beliau pada tahun lalu pernah menyuarakan pandangan bahawa isu itu tidak perlu dipolitikkan dan boleh diselesaikan jika pemilik tanah ditawarkan dengan harga pasaran untuk tanah milik mereka.

Sebelum ini kerajaan PH menawarkan harga RM1,000 untuk setiap kaki persegi tanah yang akan dibangunkan.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker