Kerajaan Perlu Wujud Bantuan Khas Bantu Ekonomi Golongan PKS – Shahril Hamdan

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan berkata, walaupun faktor keselamatan amat penting di kala negara menangani wabak pandemik COVID-19 namun kerajaan harus turut memandang serius kesan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap para peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Jelas beliau, sebagai contoh peniaga bazar Ramadan yang pastinya akan terjejas teruk akibat daripada PKP ini.

“Kesan ekonomi peniaga bazar Ramadan amat besar, mungkin mereka berniaga sepanjang tahun tapi bulan Ramadan adalah bulan di mana aliran tunai paling besar. Disebabkan COVID-19 ini keberangkalian ekonomi mereka turun atau menjadi sifar.

“Ini bukan krisis biasa bermakna langkah yang perlu dipertimbangkan termasuklah tidak membenarkan bazar Ramadan dan kita harap mereka boleh memahami keadaan ini. Sudah pasti ini akan memberi kesan kepada peniaga PKS maka kerajaan juga perlu ada satu suntikan untuk membantu kebajikan dan pendapatan peniaga kecil ini.

“Kita tidak boleh kata ini kecemasan dan tidak boleh buka bazar dan kita biar begitu sahaja. Kerajaan perlu lebih bijaksana dan lebih berkebajikan dalam mengurus perkara ini sama ada memberi bantuan secara langsung ataupun melalui e-bazar seperti yang dicadangkan,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam satu program anjuran sebuah stesen televisyen swasta, hari ini.

Tambah Shahril, kerajaan perlu mewujudkan bantuan khusus untuk membantu para peniaga PKS dan tidak salah memberi keutamaan untuk memberi suntikan ekonomi kepada para peniaga ini dan bukannya kepada peniaga tokoh koporat.

“Kalau kerajaan boleh meletak RM50 bilion untuk dana jamin pinjaman syarikat besar, apa salahnya sedikit diberikan kepada kes seperti ini. Kalau krisis ini berlanjutan sehingga raya maka cerita ini akan menjadi lebih besar kerana golongan peniaga kecil ini akan lebih terdedah terjejas ekonominya.

“Selain itu, kerajaan juga boleh menambah baik pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan, contohnya kerajaan perlu mengeluarkan satu dasar untuk memastikan moratorium hutang ini sampai kepada peniaga PKS.

“Kita perlu sedar bukan semua peniaga PKS pemilik bangunan, kebanyakan mereka adalah menyewa, pemilik kedai tidak perlu lagi membayar hutang bank selama enam bulan tetapi mereka masih mengambil sewa dari penyewa dan inilah antara perkara yang boleh dibahaskan,” jelas beliau lagi yang begitu prihatin terhadap rakyat ekorannkesan COVID-19. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker