Inisiatif Kerajaan Cukup Baik, Namun Adalah Wajar Subsidi Upah Prihatin Perlu Ditingkatkan – Norliza

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berpandangan masih terdapat ruang penambahbaikan berhubung inisiatif kerajaan berkaitan Subsidi Upah yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Menurut beliau inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini cukup baik namun dengan meningkatkan jumlah tersebut dari RM 600.00 kepada RM 1,000.00 untuk setiap pekerja ianya bakal memberi manfaat kepada semua pihak.

“Saya menyambut baik Inisiatif Subsidi Upah yang diumumkan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk menawarkan bantuan kewangan kepada majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% akibat krisis COVID-19 dimana setiap majikan yang layak akan menerima bantuan subsidi upah bernilai RM 600.00 bagi setiap pekerja.

“Namun sedemikian, saya juga merasakan terdapat ruang penambahbaikan dalam inisiatif ini yang perlu diberi perhatian yang serius oleh kerajaan.

“Jika kita teliti garis panduan inisiatif ini, kita akan dapati bahawa inisiatif ini hanya terhadap kepada 100 pekerja yang bergaji RM 4,000.00 dan ke bawah serta berdaftar dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sahaja,” katanya menerusi catatan di facebook.

Tambah Norliza lagi subsidi bernilai RM 600.00 untuk setiap pekerja bergaji RM 4,000.00 dan ke bawah adalah rendah jika dibandingkan jumlah yang perlu ditanggung para majikan untuk memastikan para pekerja mereka terus menerima gaji bulanan mereka disaat ekonomi global terus merosot akibat pelbagai faktor.

Maka, ujar beliau persoalan penting yang perlu kita teliti sekarang adalah, adakah majikan terutamanya dari latar belakang Industri Kecil Sederhana (IKS) dan “Start Ups” mampu menampung kos gaji pekerja yang agak tinggi jika subsidi yang diberikan kerajaan hanya bernilai RM 600.00 sebulan untuk setiap pekerja.

“Situasi ini adalah situasi terakhir yang kita mahu hadapi dalam keadaan ini. Sebarang peningkatan drastik dalam isu pengangguran akan membawa pelbagai implikasi buruk terhadap negara termasuk dari segi ekonomi dan sosial. Sejarah membuktikan perkara ini.

“Oleh yang sedemikian, saya memohon kepada kerajaan dibawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertimbang cadangan penambahbaikan Inisiatif Subsidi Upah dengan meningkatkan jumlah tersebut dari RM 600.00 setiap pekerja ke RM 1,000.00 setiap pekerja.

“Saya yakin dengan peningkatan jumlah ini, lebih ramai majikan akan kurang terbeban dan secara tidak langsung mampu mengekalkan pekerja mereka tanpa keperluan penstrukturan semula untuk kurangkan kos operasi syarikat pada masa akan datang,” ujarnya.- UMNO Online

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker