India janji jaga kebajikan rakyat Malaysia dikuarantin

Share


Kementerian Luar India berjanji akan memberi perhatian dan kerjasama sepenuhnya terhadap isu kebajikan rakyat Malaysia yang dikuarantin di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata janji itu disampaikan ketika Wisma Putra menghubungi kerajaan India bagi mendapatkan maklum balas berhubung perkara itu.

“Wisma Putra mahu perkara ini diselesaikan secepat mungkin dan akan mendapatkan sebab sebenar di sebalik kejadian ini,” katanya menerusi hantaran ringkas di akaun Facebook rasminya, hari ini.

Sejak semalam, tular satu video di media sosial dipercayai dirakam warga Malaysia yang dikuarantin di sebuah sekolah di negara itu.

Dalam video berdurasi empat minit 35 saat itu, individu yang dipercayai membuat rakaman berkenaan menunjukkan beliau dan 11 rakannya dikuarantin dalam sebuah kelas yang dipenuhi habuk dan nyamuk.

Individu itu mendakwa mereka hanya diberi tilam nipis dan sehelai kain sebagai selimut, selain tidak diberi makanan dan minuman.

Individu itu mendakwa mereka dibawa ke sekolah itu dari hotel penginapan sekitar jam 1 pagi dan meninggalkan barangan masing-masing kerana mulanya dimaklumkan akan dihantar ke hospital, namun sebaliknya mereka dibawa ke sekolah itu untuk dikuarantin.

Hishammuddin memaklumkan, kumpulan rakyat Malaysia itu dikuarantin oleh pihak berkuasa India kerana berada di Markaz Nizamudin, iaitu antara lokasi berhampiran tempat perhimpunan tabligh yang berisiko tinggi berlaku penularan wabak COVID-19.

BH

(Visited 1 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *