Polis boleh minta bil letrik, air untuk sahkan alamat

Polis boleh meminta bil elektrik dan air untuk mengesahkan seorang individu dalam perjalanan jarak radius 10km dari tempat kediamannya, kata Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Jurucakap Ismail Muslim memberitahu sidang media sekatan baru bawah fasa 2 perintah kawalan pergerakan (PKP) melarang pergerakan melebihi radius 10km untuk perkhidmatan asas seperti membeli makanan, ubat-ubatan atau suplemen dan juga mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Individu yang melakukan perjalanan untuk tujuan kerja rasmi harus menyediakan surat pelepasan oleh ketua jabatan, atau majikan jika diminta oleh pihak berkuasa.

Mereka yang mengingkari arahan itu boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau boleh dipenjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ismail berkata ia akan bergantung kepada budi bicara pegawai penguatkuasa yang mengendalikan sekatan jalan raya, yang akan ditingkatkan di semua daerah di Selangor, untuk meminta pengesahan alamat.

Ketika ini, terdapat 4 hingga 5 sekatan jalan raya 24 jam di semua 16 daerah.

Syarat-syarat pergerakan untuk fasa kedua PKP bawah Peraturan 4 (1) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Terkawal Tempatan).

Bawah peraturan itu, hanya 1 orang dibenarkan dalam kenderaan, kecuali bagi mereka yang melakukan perjalanan untuk mendapatkan rawatan kesihatan atau perkhidmatan perubatan, dan mereka yang memerlukan pemandu dalam keadaan tertentu seperti ketua keluarga atau orang kurang upaya.

Dalam kes berasingan, Ismail berkata terdapat 600 laporan polis, 350 siasatan dan 727 tangkapan di Selangor berkaitan Covid-19 bermula 18 Mac sehingga 1 Apr.

Mereka yang ditangkap terdiri daripada 685 lelaki dan 42 wanita, termasuk 243 warga asing.

Beliau berkata tidak ada tangkapan melibatkan kluster tabligh Sri Petaling di Selangor setakat ini.

“Golongan ini telah memberikan kerjasama yang sangat baik kepada kementerian kesihatan dan polis,” katanya, sambil menambah pihak berkuasa berjaya mengesan semua 10,000 peserta.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker