COVID-19: Kerajaan akan tambah baik bantuan untuk PKS

Kerajaan akan menambah baik bantuan yang akan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi menangani masalah kewangan kesan pandemik COVID-19 yang berterusan, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Katanya, berita baik itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada minggu hadapan, selepas semua hasil mesyuarat di peringkat kementerian, dibawa kepada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).

“Kita tunggu pengumuman daripada Perdana Menteri nanti, mengenai perkara yang boleh kita penuhi untuk kepentingan PKS ini. Ini kerana kita memang tidak nafikan sumbangan mereka kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau mengulas berkenaan reaksi ramai usahawan PKS yang dikatakan tidak berpuas hati terhadap Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), yang diumumkan kerajaan minggu lalu.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, kerajaan tidak sama sekali akan menafikan kepentingan usahawan PKS, tetapi dalam keadaan negara sekarang yang perlu lebih diberi keutamaan ialah, usaha untuk menyelesaikan masalah COVID-19.

“Kerajaan memang dari awal lagi sudah melihat kepentingan untuk membantu PKS. Namun kita utamakan untuk mendatarkan lengkongan pandemik itu dahulu.

“Kita tidak mahu jadi seperti Itali. Sebanyak mana ekonomi berkembang, tetapi jika ramai orang terkorban di sana sini, ia tidak memberi makna juga kepada negara.

“Pada masa sama, Perdana Menteri telah arahkan untuk diwujudkan satu jawatankuasa Kabinet, yang akan membuat kajian untuk mewujudkan imbangan antara ekonomi dan masalah COVID-19. Kita tidak lepas dari melihat kedua-duanya dibangunkan dan diatasi (ekonomi dan krisis COVID-19),” jelasnya.

Wan Junaidi menambah, pada peringkat kementerian, beliau telah mengarahkan agar kajian berkenaan industri-industri terjejas yang boleh digerakkan semula, kerana tidak mahu ekonomi negara terus terjejas.

“Sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kerajaan sudah lihat perkara-perkara ini, kita juga takut dan tidak mahu jika banyak PKS, yang berkemungkinan menggulung tikar.

“Sebab itu mula-mula sekali kementerian minta supaya morotarium dan pengecuali bayaran sewa dibuat dahulu. Ketika ini juga industri perniagaan tidak formal, yang tidak ramai orang sebut seperti makcik yang jual kuih, cekodok pun kita usaha untuk bantu,” tambahnya.

-BERNAMA

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker