LHDN: Penerima BSH, M40 ada data cukai tak perlu buat permohonan bantuan prihatin rakyat

Share


Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) memaklumkan golongan berpendapatan rendah (B40) yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) yang mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDN tidak perlu membuat pendaftaran bagi permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Dalam satu kenyataan, LHDN berkata penerima BSH layak menerima BPN secara automatik manakala golongan M40 yang mempunyai data cukai pendapatan dengan LHDN pula akan dinilai berdasarkan jumlah pendapatan dan kriteria lain yang ditetapkan kerajaan.

“Semakan status penerimaan BPN boleh dilakukan secara dalam talian mulai 1 April 2020 dengan melayari portal rasmi LHDN di https://www.hasil.gov.my atau
https://bpn.hasil.gov.my.

“Sekiranya status semakan adalah ‘tiada rekod’, orang ramai boleh membuat permohonan baru dengan klik butang ‘Permohonan Baru’,” katanya.

LHDN berkata permohonan baru secara dalam talian adalah dibuka sehingga 30 April 2020.

Katanya, orang ramai hanya perlu mengikuti langkah mudah untuk membuat semakan seperti masukkan nombor kad pengenalan, masukkan kod captcha yang diberikan dan keputusan akan dipaparkan.

“Orang ramai diingatkan tiada permohonan secara manual menggunakan borang setakat ini memandangkan semua premis LHDN ditutup sementara sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat,” katanya.

LHDN berkata bagi permohonan yang tidak berjaya, rayuan boleh dikemukakan secara dalam talian.

FMT

(Visited 8 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *