Krisis Covid-19: Hidup ini adalah kesempatan

Share


Setiap tahun menjelang 1 Apr, ramai orang sengaja buat “prank” atas alasan “April Fool”. Setiap tahun juga, saya melakukan sedemikian tetapi dalam masa yang sama saya meraihkan hari ulang tahun kelahiran. Betapa saya bersyukur kerana saya masih diberi masa untuk hidup. Hari ini, 1 Apr 2020, akan menjadi sejarah dalam kehidupan ini. Hari ini, saya memasuki siri 40-an sebagai seorang manusia yang masih punya kehidupan di dunia.

Tarikh ini akan menjadi ingatan buat selama-lamanya selagi nyawa dikandung badan. Apakan tidak, pada hari ini juga, dunia sedang bertarung dengan krisis virus Covid-19. Sehingga kini, masih belum ada vaksinnya malah peningkatan jumlah pesakit dan kematian yang diluar jangka.

Apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa mulai pada 18 Mac sehingga 31 Apr, kata hati saya, syukur ada peluang untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran bersama keluarga dan teman-teman pada tanggal 1hb. Peningkatan kes Covid-19 saban hari tidak menunjukkan penurunan malah peningkatan yang meruncingkan. Tambahan pula, masih ada masyarakat di luar sana tidak endah malah ada yang seolah-olah sengaja mengingkari arahan PKP. Maka, PKP dilanjutkan sehingga 14 Apr dan perancangan kecil saya dibatalkan terus.

Dalam tempoh PKP ini, banyak hal yang dapat saya saksikan. Hal politik, hal ekonomi, hal rakyat dan macam-macam hal lagi yang bersifat keduniaan. Covid-19 menghentikan seketika polemik politik negara yang mengalami krisis kepimpinan dan seterusnya menyaksikan kerajaan bertukar tangan. Covid-19 membuka ruang dan peluang kepada kerajaan yang ada pada ketika ini untuk membuktikan kerajaan ini kerajaan prihatin rakyat.

Malahan ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan nada sayu berkata “mungkin kerajaan ini bukanlah kerajaan yang anda undi. Namun, saya ingin tegaskan kerajaan ini prihatin pada anda semua” memberi kesan kepada sanubari rakyat yang menyelami ucapan beliau ketika mengumumkan Pekej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

Tidak dinafikan rakyat di pelusuk negara merasai keperitan, duka dan cabaran akibat Covid-19. Ramai yang kehilangan punca pendapatan, hilang pekerjaan, perniagaan terpaksa ditutup, hutang semakin meningkat dan gangguan emosi seperti kecewa dan depresi. Yang amat menyedihkan lagi ialah mereka yang kehilangan keluarga akibat Covid-19. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Namun sebagai rakyat Malaysia, kita harus bersyukur dengan apa yang kita perolehi. Sekurang-kurangnya, kita tidak senasib dengan rakyat di negara luar seperti di sebahagian tempat di India. Bukan sahaja berhadapan dengan ancaman Covid-19 tetapi ada yang bakal mati akibat kebuluran ekoran daripada perintah kawalan pergerakan mahupun darurat di negara mereka. Sedemikian juga di Itali, mungkin punya wang tetapi ada yang bertemu ajal akibat Covid-19 yang sudah tidak menang tangan oleh petugas barisan hadapan mereka.

Kita bersyukur, meski ada suara-suara sumbang yang kecil mengkritik usaha kerajaan membantu rakyat, namun kita masih diberi perlindungan setidak-tidaknya bantuan kemanusiaan dalam pelbagai bentuk. Kita juga bersyukur dengan nilai keprihatinan dan kasih sesama rakyat tanpa mengenal bangsa, agama dan budaya. Seumpama Covid-19 yang tidak kenal akan erti darjat, latar belakang, warna kulit, budaya dan agama.

Sejak negara dilanda bencana Covid-19, solidariti bangsa Malaysia terpancar dalam pelbagai aspek usaha membantu negara dan rakyat yang kurang bernasib baik. Bantuan, sumbangan dalam pelbagai segi, kata-kata semangat dan galakan antara manifestasi rakyat kepada negara. Kebanyakan rakyat mengambil kesempatan untuk menghulurkan apa jua bentuk sumbangan dan bantuan kepada negara dan rakyat di luar sana. Sekurang-kurangnya, mematuhi arahan PKP cukup memadai meskipun ianya kelihatan kecil tetapi kesannya amat signifikan.

Hidup ini adalah kesempatan. Kesaksian ini bakal menjadi sejarah di masa hadapan untuk diceritakan kepada generasi depan bagaimana negara dan Bangsa Malaysia menghadapi krisis Covid-19. Saya bersyukur kerana masih ada masa menyaksikan apa yang sedang berlaku dan pada masa yang sama memasuki alam kehidupan 40-an. Saya panjatkan doa kepada Tuhan agar barisan kepimpinan negara, para petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat di pelusuk negara dilindungi dan dirahmati.

Tony Paridi Bagang ialah pensyarah di UiTM Sabah.

FMT

(Visited 1 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *