Badan pemikir kesihatan bidas keputusan WP benarkan bazar Ramadan

Sebuah badan pemikir memberi amaran terhadap keputusan terburu-buru kerajaan untuk membenarkan bazar Ramadan diadakan di Wilayah Persekutuan yang mungkin memburukkan lagi penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalid berkata, ia akan menjadi tragis jika aktiviti bazar menyebabkan jangkitan virus itu meningkat dan lebih ramai terkorban.

“Siapa yang akan dipertanggungjawabkan nanti?” soalnya ketika dihubungi FMT.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa semalam yang membenarkan bazar Ramadan beroperasi di Kuala Lumpur dan wilayah persekutuan lain, tetapi prosedur pengurusan perlu diubah suai kerana ia adalah keperluan, khasnya bagi mereka yang tinggal di bandar.

Ramadan dijangka bermula 23 April ini, manakala perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan 18 Mac lalu, akan berakhir 14 April ini.

Azrul berkata, tidak wajar menganggap rakyat akan selamat daripada jangkitan Covid-19 selepas PKP berakhir.

“Mungkin ia memerlukan berminggu-minggu sebelum kita boleh kembali kepada keadaan normal.”

Katanya, Annuar patut mengikut langkah pihak berkuasa di Terengganu dan Negeri Sembilan yang mengharamkan bazar Ramadan tahun ini.

Beliau memuji kerajaan 2 negeri itu yang membuat “keputusan berani dan sukar” untuk melindungi rakyatnya serta mencegah kemungkinan penularan Covid-19.

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kerajaan perlu memastikan jarak sosial di bazar Ramadan dipatuhi sesama pengunjung dan peniaga.

Katanya, penyedia dan penjual makanan perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

Beliau menggesa penempatan bazar Ramadan tidak patut dibenarkan di kawasan yang mempunyai banyak kes positif Covid-19.

Beliau turut mencadangkan kerajaan membangunkan sistem untuk mengesan pengunjung bazar, antara lain memberi maklumat alamat tempat tinggal mereka.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker